berita

Restoran Terkenal Diserbu, Disyaki Jual Mi Kari Daging Babi?

November 14th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Semalam kecoh satu video di media sosial mengenai seorang individu mendakwa bahawa sebuah restoran terkenal ada menyajikan mi kari yang mengandungi bahan mentah disyaki daging babi. Video tersebut telah mendapat pelbagai respon dalam kalangan netizen termasuklah mereka yang beragama islam.

Rampas bahan mentah mi kari

Berikutan daripada itu, sepasukan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Selangor (KPDNHEP) telah menyerbu premis terbabit di Subang Jaya, Selangor dan merampas beberapa bahan mentah yang digunakan.

Berdasarkan laporan Harian Metro, Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, premis terbabit mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan masih dalam tempoh yang sah sehingga 30 November 2020.

Menurut pengurus premis itu, dia mempunyai tiga pekerja warga Myanmar yang bertugas sebagai tukang masak di restoran berkenaan.

Mempunyai 3 pekerja Myanmar

Pihak KPDNHEP telah ke premis berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut dan menemui bahan mentah yang digunakan untuk hidangan mi kari. Sampel daging kemudian akan dihantar ke makmal untuk diuji dan mendapat keterangan pakar.

Sementara itu, KPDNHEP Selangor turut menyita Sijil Halal JAKIM milik restoran terbabit dan dokumen penghantaran bahan mentah oleh pembekal.

Ketika ditanya anggota, pengurus restoran menafikan daging terbabit adalah daging babi dan mendakwa itu adalah daging ayam diperap dengan perencah barbeku.

Pemeriksaan turut dilakukan di beberapa cawangan restoran yang lain termasuklah di Sepang, Kajang dan Gombak. Kes akan disiasat mengikut kesalahan Perintah 3(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. Jika disabitkan kesalahan, ia boleh didenda seperti mengikut Perintah 5 Perintah Perihal Dagangan 2011.

Sumber: Harian Metro, Malaysiakini

SKIP THIS AD ×