berita

Review Filem: Siapa Hercules – Sekadar Kisah Mitos Atau Perwira Sejati?

July 24th, 2014 | by Noraniza
Filem Antarabangsa

HERCULES

Pasti ramai tertunggu-tunggu review untuk filem Hercules ini bukan? Lebih-lebih lagi pada pembaca tegar komik Hercules yang ditulis oleh Steeve Moore.

Akan mula ditayangkan di pawagam mulai hari ini (24 Julai 2014), filem ini turut menampilkan barisan pelakon yang mantap seperti Dwayne Johson, Ian McShane, Aksel Hennie dan ramai lagi.

Menjadi antara orang yang terawal dapat menonton filem hasil arahan Brett Ratner ini membuatkan saya lebih teruja. Iyalahkan, nak lihat juga sejauhmana kewibawaan Dwayne Johson ataupun lebih dikenali sebagai The Rock membawa watak Hercules. Yay or nay?

HERCULES

Hercules dan sahabat-sahabat perwiranya

Kisah bermula apabila lahirnya seorang kanak-kanak lelaki yang dikatakan memiliki kekuatan luar biasa. Kehandalannya diceritakan menerusi kisah “12 labors” yang menjadikan nama perwira separa dewa itu digeruni di seluruh pelusuk dunia.

Ditemani oleh sahabat-sahabatnya iaitu Amphiaraus (lakonan Ian McShane), Tydeus (lakonan Aksel Hennie), Autolycus ( lakonan Rufus Sewell), Atalanta (lakonan Ingrid Bolse Berdal) dan Iolaus (lakonan Recee Ritchie), Hercules sanggup berlawan apa sahaja demi mendapatkan emas.

Namun di sebalik kemegahan nama Hercules, kematian mengejut isteri dan anak-anaknya membuatkan dia sering terganggu. Malah, Hercules juga didakwa telah melakukan pembunuhan kejam terhadap mereka.

HERCULES

Apakah muslihat sebenar Ergenia dan ayahnya Lord Cotys?

Sedang mereka meraikan kemenangan, Ergenia (lakonan Rabecca Ferguson) yang merupakan anak kepada Lord Cotys (lakonan John Hurt) meminta pertolongan mereka untuk membebaskan kota Thrace daripada serangan Rhesus (lakonan Tobias Santelmann).

Adakah Hercules berjaya untuk mengalahkan Rhesus yang terkenal dengan bala tenteranya yang hebat dan siapakah sebenarnya bertanggungjawab membunuh ahli keluarganya dengan kejam?

Berlatarbelakangkan zaman Yunani, filem ini nyata padat dengan aksi ganas Hercules dan para sahabatnya yang masing-masing memiliki kemahiran tersendiri.

HERCULES

Antara babak menarik dalam filem Hercules

Ditambah pula dengan sedikit suntikan komedi, filem ini berjaya mencuit hati penulis dengan keletah lucu watak Autolycus yang mahu menikmati saat-saat ajalnya.

Malah, watak Iolaus sebagai penglipur lara dalam filem yang gemar bercerita mengenai kehebatan Hercules turut menghiburkan para penonton.

Namun, muncul sedikit kehampaan di hati penulis di pengakhiran cerita ini apabila ia dilihat agak longgar. Pada pendapat penulis, kehandalan Hercules sebagai perwira separa dewa boleh di ‘hyperbola‘ kan lagi di bahagian ‘ending’. Barulah seiring dengan kisah “12 Labors” yang diwar-warkan oleh Iolaus kan?

HERCULES

Apapun, ia hanyalah sekadar pandangan penulis. Mungkin anda juga memiliki pendapat anda tersendiri setelah menonton filem ini.

Jadi, tunggu apa lagi, Hujung minggu ni kan dah mula cuti raya. Maka, bolehlah anda book tiket wayang awal-awal dan tonton filem Hercules bersama keluarga ataupun sahabat handai.

The following two tabs change content below.

Noraniza

Senior Head Of Sponsored Content, Malay Division at Rev Asia Berhad
People will hate you, rate you, shake you and break you. But how strong you stand is what makes you! :)

SKIP THIS AD ×