berita

Review Filem : Teknologi Jadi Tuhan Kedua, Transcendence Hidupkan Semula Nyawa Manusia

April 17th, 2014 | by Noraniza
Filem Antarabangsa

Screen Shot 2014-04-16 at 4.00.21 PM

Bolehkah manusia hidup semula? Itulah persoalan pertama yang menjengah di minda penulis apabila usai menonton filem ini.

Filem Transcendence memaparkan jalan cerita mengenai kecanggihan teknologi yang dilihat bagaikan telah mengatasi hukum alam dan membelakangi kenyataan bahawa manusia yang sudah mati adalah mustahil untuk hidup semula.

Dengan menampilkan pelakon terkemuka antarabangsa seperti Johnny Depp, Rabecca Hall dan Morgan Freeman, filem yang ditayangkan bermula pada hari ini (17 April 2014) sudah pasti bakal menarik peminat setia selebriti-selebriti handalan tersebut.

Screen Shot 2014-04-16 at 4.05.26 PM

Johnny Depp membawa watak sebagai Dr. Will Caster

Kisah bermula apabila Dr. Will Caster (lakonan Johnny Depp), seorang pakar penyelidik dalam bidang kecerdasan buatan (artificial intelligence) mahu mewujudkan satu mesin yang mempunyai naluri dan kecerdasan kolektif.

Dalam bahasa yang lebih mudah, Dr. Will mahu mencipta satu alat yang mempunyai emosi serta lebih maju daripada teknologi yang sedia ada dengan misi untuk merealisasikan dunia yang lebih baik.

Namun, usaha yang dilakukan oleh Dr. Will bersama isterinya Evelyn (lakonan Rabecca Hall) dan sahabat baiknya Max Waters (lakonan Paul Bettany) menerima tentangan hebat daripada puak pelampau yang diketuai oleh Bre (lakonan Kate Mara).

Oleh itu, dengan harapan untuk menggagalkan misi Dr. Will, Bre telah meletupkan beberapa buah makmal penyelidikan dan juga telah menembak Dr. Will dengan peluru radioaktif yang diletakkan racun radiasi.

Screen Shot 2014-04-16 at 4.06.04 PM

Evelyn telah meng’hidup’kan semula Dr. Will Caster

Enggan menerima kenyataan bahawa hayat suaminya hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi, Evelyn telah mencadangkan agar ‘minda’ suaminya dijadikan sebahagian daripada teknologi dengan harapan agar suaminya itu akan kekal ‘hidup’ walaupun sekadar berada dalam alam maya.

Namun, dek kerana ketidakseimbangan minda, Dr. Will telah mengatasi hukum alam dan sekaligus bagaikan menjadi ‘Tuhan’ kedua yang mampu melakukan keajaiban menggunakan teknologi.

Kini, hanya ada satu jalan sahaja yang boleh mematikan Dr. Will iaitu dengan memuatnaik virus ke alam maya yang juga bakal melumpuhkan teknologi seluruh dunia. Namun, mampukah langkah Dr. Will dikekang dan sanggupkah Evelyn membiarkan sahaja suaminya itu dimatikan?

Screen Shot 2014-04-16 at 4.06.49 PM

Antara babak menarik dalam filem Transcendence

Padat dengan cinematografi yang tidak kurang hebatnya, filem arahan Wally Pfister dan diterbitkan oleh Christopher Nolan dan Emma Thomas ini dilihat mampu menarik perhatian para pencinta teknologi.

Namun, jika diperhatikan, beberapa plot filem ini diolah sedikit daripada beberapa filem box-office lain seperti ‘Colossus: The Forbin Project’, ‘The Terminal Man’ dan ‘The Matrix’.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa idea mengenai penyelidikan dalam bidang kecerdasan buatan (artificial intelligence) sedikit sebanyak menyerupai filem ‘Her: A Spike Jonze Love Story’ yang sudah tentu ditambah baik daripada segi cinematografinya.

Screen Shot 2014-04-17 at 12.25.55 PM

Filem ‘Her: A Spike Jonze Love Story’ turut menggunakan penyelidikan dalam bidang kecerdasan buatan

Bagaimanapun, pada pendapat penulis, pengakhiran cerita Transcendence ini dilihat tidak begitu menarik dan seperti ada sedikit kekosongan yang mewujudkan ketidakpuasan di hati.

Lain orang lain pandangannya bukan? Apakata jika anda tonton dahulu filem ini dan kemudiannya mengirimkan komen dan pendapat anda kepada penulis. Selamat menonton!

The following two tabs change content below.

Noraniza

Senior Head Of Sponsored Content, Malay Division at Rev Asia Berhad
People will hate you, rate you, shake you and break you. But how strong you stand is what makes you! :)

SKIP THIS AD ×