Drama penuh debaran menghiasi pentas Calpis Soda On In A Million (CSOIAM) apabila peserta Rezza Shah hampir tersingkir pada minggu lalu.
Walau bagaimanapun, penyingkiran Rezza itu ‘terbatal’ selepas pihak juri menggunakan kuasa veto yang ada pada mereka sekaligus memberi peluang kedua kepada anak jati Kuching, Sarawak itu.
Artikel Berkaitan: Rezza Shah Kembali Ke Pentas CSOIAM Selepas Tersingkir, Kai Deva Rangkul Gelaran Juara Mingguan
Syukur dapat peluang kedua
Berkongsi mengenai perasaannya, penyanyi yang baru berusia 22 tahun ini mengakui sedih dan terkejut apabila diumumkan tersingkir namun reda dengan keputusan juri.
Memang, saya akui sedikit gementar apabila berhadapan dengan juri hebat seperti Ziana Zain, Datuk Yusry, dan Cakra Khan.
Walaupun gementar, saya tahu saya perlu memberikan yang terbaik kerana mereka bukan calang-calang juri.
Namun, bekas peserta rancangan realiti sebuah stesen televisyen ini bertambah terkejut dan tidak menyangka diberikan peluang kedua untuk terus bersaing dalam CSOIAM.
Rezza juga berjanji akan memanfaatkan peluang kedua ini dengan sebaik mungkin pada minggu kedua CSOIAM.
Ketika diumumkan tersingkir, saya memang sedih tetapi saya tetap reda dengan keputusan itu.
Namun, apabila diberi peluang kedua dengan imuniti, saya benar-benar terkejut.
Saya tidak sangka, tetapi saya berjanji akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin.
Hanya 14 yang layak ke minggu kedua
Terdahulu, seramai enam peserta telah tersingkir pada minggu pertama CSOIAM dan menjadikan hanya 14 peserta terbaik untuk dipilih untuk berjaya ke minggu kedua.
Meskipun memberikan saingan yang sengit dari segi vokal dan persembahan, enam peserta iaitu Yusriansyah, BFORE3, BOISOVER, Iqmal Romi, Esther, dan Jill Gaisah terpaksa mengucapkan selamat tinggal dan akur dengan keputusan minggu lalu.
Manakala 14 peserta yang terpilih iaitu Dhania, Mariam, Zazzleen, Kai Deva, Hafiz Zainal, Rezza Shah, Aniq Iffat, Hazimi, Erfarina, Alya, Eylia, Dayangku Iffah, Mary Grace dan Trio XL bakal berentap pentas Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) untuk merebut wang tunai berjumlah RM1 juta.
Tema pada minggu ini adalah ‘Melodi Indah, Segar Membara’ iaitu lagu-lagu hit yang pernah mencuri hati suatu ketika dahulu, diberi nafas dan melodi baru yang segar.
CSOIAM ini dihoskan oleh Fiza Frizzy dan Haniff Hamzah serta menampilkan juri tetap Ziana Zain, Yusry Abdul Halim dan Cakra Khan.
Saksikan setiap detik mendebarkan ini secara eksklusif di TV3, jam 9.00 malam setiap Ahad, atau strim secara HD di Tonton melalui laman sesawang rasmi TONTON. Jangan lepaskan peluang menyaksikan keajaiban peserta-peserta Top 14 ini secara langsung.