Konsert Megahitz 3 Dekad Vol.1 telah melabuhkan tirai dengan penuh kejayaan pada malam Sabtu, membawa ribuan peminat mengimbau nostalgia era kegemilangan muzik 80-an.
Konsert Megahitz 3 Dekad Vol.1
Bertempat di Zepp, Kuala Lumpur, acara ini dianjurkan oleh Pentas 365 Events dan menampilkan barisan sembilan penyanyi lagenda Malaysia yang berbakat besar. Antara artis yang memeriahkan pentas ialah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Datuk Nash, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin, dan bakat muda, Amir Masdi.
Konsert ini berkonsepkan ‘back to the 80s’, memberikan pengalaman istimewa kepada peminat dengan persembahan yang mengembalikan kenangan manis zaman tersebut.
Malam penuh gemilang itu menyaksikan barisan penyanyi mempersembahkan lagu-lagu hit mereka dalam bentuk solo yang memukau, selain menyajikan gabungan vokal hebat dalam segmen istimewa yang menyatukan mereka di atas satu pentas.
Antara lagu popular yang didendangkan ialah Gadis Melayu, Kau Ilhamku, Kau Kunci Cintaku, Tiada Lagi Kidungmu, Mahligai Syahdu dan banyak lagi.
Lagu-lagu ini menghidupkan suasana di mana penonton turut menyanyi bersama dan berkaraoke, mencipta satu memori indah yang tidak akan dilupakan.
Sebanyak 22 lagu dipersembahkan oleh barisan penyanyi di mana ke semua lagu tersebut pernah dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu dan pernah memenangi acara berprestij itu.
Konsert Megahitz 3 Dekad Vol.1 bukan sahaja menjadi pentas untuk menghargai legasi muzik tanah air, tetapi juga sebagai bukti bahawa lagu-lagu malar segar ini masih mampu menghibur dan menyatukan generasi lama dan baru dalam satu malam yang penuh memori.