
Penyanyi Rich Gimbang, memutuskan untuk tidak lagi menyertai mana-mana program realiti nyanyian, malah percaya dengan perjalanan kerjaya seninya.
Artikel Berkaitan: Program Realiti Dah Tak Cari Penyanyi Terbaik? Kini Mereka Cari Artis Yang Boleh ‘Dijual’
Pendirian Rich

Ketika ditemui OhBulan!, Rich atau nama lengkapnya Richael Lawrence Gimbang, 44, berpendapat pengalaman selama dua dekad dalam industri hiburan sudah cukup untuk membuktikan kemampuan diri dan kumpulannya, Estranged.
Menurut Rich, dia juga merasakan kurang sesuai untuk dinilai oleh barisan juri yang kebanyakannya sudah dianggap sebagai rakan seindustri.
Untuk saya dan kumpulan, kami sudah berbincang tiada keperluan lagi untuk menyertai program realiti.
Ramai juga kawan-kawan saya yang bertanya, kenapa tak sertai. Saya sudah bergelar penyanyi selama 20 tahun. Jadi, pada pendapat peribadi saya, saya tidak perlu lagi menyertai program realiti lain untuk membuktikan sesuatu.
Kebanyakkan panel juri yang mengadili itu sudah pun dianggap sebagai kawan-kawan saya sendiri. Jadi saya rasa mereka tidak perlu lagi mengadili saya.
Lagipun saya sering berjumpa mereka di studio rakaman atau di mana-mana acara. Kami akan berbual tentang lagu baharu dan sebagainya.
Rich berkara demikian ketika ditemui pada siding media pelancaran single solonya berjudul Mean To Me yang diadakan di Drum Asia Live Hartamas, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada Selasa.
Walau bagaimanapun, pelantun lagu Itu Kamu tersebut tidak menafikan penyertaan segelintir penyanyi dalam program realiti berkemungkinan mempunyai tujuan tertentu.
Tetapi mungkin mereka terpaksa melakukannya kerana sudah lama menyepi daripada industri, mungkin bayarannya lumayan atau mereka akan mendapat lebih banyak promosi dan liputan.
Pada pendapat saya, bukan niat mahu merendahkan sesiapa tetapi ada program yang terasa terlalu dibuat-buat. Tetapi itulah hakikat rancangan realiti TV. Saya tahu itu adalah sebahagian daripada strategi. Jadi sekarang saya rasa cukuplah.
Justeru, bekas peserta Akademi Fantasia 4 itu menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk memberikan tumpuan kepada usaha sendiri bagi mendapatkan lebih banyak perhatian dalam industri muzik.
Saya akan menggunakan platform saya sendiri, sama seperti apa yang sedang saya usahakan ketika ini.
Walaupun dalam skala kecil, saya sangat hargai. Namun, saya akan bekerja keras untuk mendapatkan lebih banyak pendedahan dan kehadiran dalam industri muzik.








