berita

Rindu Kehadiran Pelanggan, Pemilik Restoran Hidang Makanan Kepada Patung

February 4th, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Tidak dinafikan penularan Covid-19 yang menular di seluruh dunia memberi impak yang negatif terhadap banyak sektor besar. Bahkan, sektor-sektor ini terpaksa menanggung kos kerugian yang tinggi berikutan tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Seperti seorang lelaki yang merupakan pemilik restoran di Rixensart, Belgium, turut menerima tempias yang sama apabila perniagaannya terpaksa dihentikan sejak Oktober yang lalu. 

Rindu pelanggan

Memetik laporan yang ditulis Rappler, pemilik restoran itu terpaksa menghentikan operasinya berikutan tertakluk kepada undang-undang Belgium yang tidak membenarkan kedai tersebut beroperasi seperti sedia kala. Pemilik kedai yang dikenali sebagai Therese Mahieu, yang merindukan suasana kedainya yang penuh dengan pelanggan mengambil ‘inisiatif’ yang lain bagi mengubat kerinduannya selama ini.

Bimbang akan masa depannya, apabila dipaksa menutup operasi restoran dan barnya berikutan ancaman pandemik Covid-19.

Ideanya boleh disifatkan sebagai kreatif, di mana dia meletakkan patung boneka yang terdiri daripada pelbagai jenis bagi menggantikan pelangganya selama ini. Bahkan, kehadiran patung-patung ini juga dianggap sebagai penyeri buat kedainya yang sunyi selama ini.

Patung dihias dengan cantik

Tidak berakhir di situ, Therese turut menghidangkan patung-patung ini dengan air yang dituang ke dalam cawan seperti pelanggan-pelanggan biasanya. Bahkan, patung-patung ini juga turut dipakaikan rambut palsu, topi, dan skaf. Difahamkan, dia berbuat demikian kerana ingin membantah peraturan ketat yang dikenakan kepada pemilik restoran.

Selain itu, kehadiran patung-patung yang dihasilkan menggunakan belon ini secara tidak langsung menggembirakan hati Therese yang selama ini tidak menerima sebarang pelanggan berikutan pandemik ini.

Sumber: Rappler

SKIP THIS AD ×