Kebelakangan ini, ramai yang bimbang tentang penurunan nilai ringgit Malaysia. Isu ini sering menjadi buah mulut masyarakat, terutama sekali dengan peningkatan kos sara hidup.
Tapi, siapa sangka, ringgit Malaysia kini di tahap tertinggi dalam tempoh 14 bulan! Bukan setakat mengalahkan Dolar AS, malah ringgit juga outperform semua mata wang serantau.
Nak tau kenapa ringgit boleh naik macam ni? Jom kami kupaskan untuk korang!
1. Polisi kadar faedah yang jelas di negara maju
Pergerakan ringgit baru-baru ini banyak dipengaruhi oleh perubahan dalam kadar faedah antara ekonomi maju dan Malaysia. Bila bank pusat di negara maju seperti Bank of England dan European Central Bank turunkan kadar faedah mereka, jurang antara kadar faedah mereka dengan Malaysia jadi lebih kecil.
Ini bermaksud pelaburan di Malaysia jadi lebih menarik, bukan sahaja bagi negara kita, tetapi juga bagi ekonomi serantau lain. Kadar OPR Malaysia yang berada pada 3.00% turut membantu dalam menjadikan pelaburan di Malaysia lebih berdaya saing.
Selain kadar faedah yang makin hampir dengan ekonomi maju, ekonomi Malaysia pun bertambah padu. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) naik 5.9% pada suku kedua 2024, lebih tinggi dari jangkaan.
Rumah-rumah penuh dengan pembeli, eksport kembali rancak, dan pelaburan makin meriah. Gabungan semua ni menarik ramai pelabur dan buat ekonomi kita makin teguh. Senang cerita, ringgit Malaysia tengah kukuh sekarang!
2. GLC & GLIC bersatu, memperkukuhkan lagi nilai ringgit!
Langkah-langkah terbaru yang diambil kerajaan memang power! Untuk mengukuhkan ringgit, mereka menggalakkan syarikat GLC dan GLIC untuk membawa balik dan tukarkan pendapatan pelaburan asing mereka. Usaha ini menambahkan permintaan untuk ringgit.
Bukan itu sahaja, mereka juga aktif berinteraksi dengan perniagaan lain untuk tujuan yang sama.
Semua ini adalah untuk menggalakkan penukaran pendapatan mata awang asing secara lebih konsisten untuk membantu menaikkan lagi nilai ringgit kita.
3. Mata wang ringgit turun naik dalam jangka pendek? Itu normal!
Sebenarnya banyak faktor luar seperti ketegangan geopolitik boleh mempengaruhi ringgit. Contohnya, apabila Federal Reserve AS menaikkan kadar faedah, pelabur lebih tertarik ke sana, menyebabkan ringgit semakin lemah.
Namun, penting untuk tidak terburu-buru kejar ringgit yang kuat. Sebaliknya, kita perlu fokus pada memperkukuh ekonomi negara melalui peningkatan produktiviti, pelaburan bernilai tinggi, dan peluang pekerjaan yang lebih baik. Bila asas ekonomi kita kukuh, permintaan terhadap ringgit akan naik secara semula jadi.
4. Reformasi struktur adalah langkah bijak untuk masa depan!
Untuk pastikan ringgit terus kuat, kita perlu lakukan reformasi struktur ekonomi. Walaupun langkah-langkah ini mungkin memerlukan kos jangka pendek dan masa untuk menunjukkan hasil, ia perlu dimulakan sekarang.
Dengan reformasi seperti peningkatan kemahiran tenaga kerja, menarik pelaburan bernilai tinggi, dan peralihan iklim yang teratur, Malaysia boleh memperkukuh daya saingnya.
Reformasi ni mungkin ambil masa, tapi hasilnya akan membantu ekonomi Malaysia terus kukuh dalam jangka panjang (tambah peluang pekerjaan dan gaji naik!).