Pelakon Rita Rudaini mendedahkan aktres dan penyanyi Bella Astillah ada berjumpa dengannya untuk meminta kata-kata semangat ketika rumah tangganya sedang bergolak.
Artikel Berkaitan: ‘Sampah Tu Biarkan Saja Nanti Bandaran Datang Kutip’ – Rita Rudaini Titip Pesan Buat Bella Astillah
Artikel Berkaitan: Rita Rudaini Berkurung Tiga Hari Dalam Bilik Ketika Hamil Anak Kedua – ‘Rayyan Datang Ambil Tuala Lap Mata Saya’
Nasihat untuk Bella
Menurut pemilik nama lengkap Rita Rudaini Mokhtar, 48, ketika pertemuan tersebut, dia menitipkan pesanan buat Bella agar terus kuat menjalani ujian hidup demi dua cahaya matanya.
Saya tak rapat dengan dia (Bella), cuma saya mengikuti kisahnya yang sudah banyak kali terkena sampai saya jadi letih. Jadi, saya minta untuk beritahu Bella supaya sudahlah.
Kemudian, saya jumpa Bella semasa program Melodi Raya 2024 dan dia juga memang ada niat hendak jumpa saya. Dia kata sebab hendak ambil kekuatan dan tanya bagaimana saya boleh kuat.
Saya cakap senang sahaja, kalau hendak kuat tengok anak. Awak hidup untuk siapa? Untuk jaga suami atau jaga anak? Selepas itu, bila tengok sekarang Bella sudah nampak semakin kuat.
Rita berkata demikian ketika ditemui pada sesi temu bual bersama barisan pelakon sitkom komedi terbaharu terbitan TV3, Jabatan Call Centre (JCC) di Glenmari, Shah Alam, pada Isnin.
Dalam pada itu, Rita memberitahu meskipun dia pernah bercerai, namun tidak sesekali berniat menggalakkan perpisahan.
Saya bukanlah mahu meraikan atau menggalakkan perceraian, tapi sebagai sahabat industri saya lihat apa yang dia lalui sangat tragis dan sudah banyak kali sudah terkena.
Ramai orang cakap supaya kesian dekat anak kalau bercerai dan saya paling tak suka itu. Sebenarnya itu salah, kalau betul kesian kepada anak, bawa dia keluar daripada lingkungan toksik.
Jangan fikir tak mahu cerai sebab kesian kepada anak, kalau macam itu mungkin kamu yang tak boleh hidup tanpa lelaki. Kita wanita perlu kuat.
Berkongsi lanjut, ibu kepada dua cahaya mata ini berkata dia bersyukur melihat Bella semakin kuat dalam meneruskan kehidupan.
Selepas itu, saya dan Bella hanya berbalas mesej sahaja. Saya pun tak mahu ganggu dia sebab dah nampak makin baik dan selesa. Jadi, saya tak mahu ganggu dan biarkan dia kuat sendiri.
Terdahulu, Rita menerusi hantaran di Instagram Story berkongi kata-kata semangat buat Bella.
Imbas kembali, Bella dan bekas suami, penyanyi Aliff Aziz sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.