Aina Abdul atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani bukan nama asing lagi dalam bidang nyanyian. Kelunakan suara dan kekuatan vokal yang dimiliki olehnya sememangnya tidak dapat disangkal. Mana taknya, Aina sudah meraih pelbagai jenis anugerah berprestij sepanjang kariernya sebagai anak seni.
Selain memiliki suara yang merdu, apa yang menarik perhatian OhBulan! dan netizen adalah gaya fesyennya. Tidak kiralah untuk acara karpet merah, rakaman televisyen, konsert dan majlis anugerah, Aina dan pasukan penata gayanya dilihat bijak dalam memilih busana seiring dengan tema dan bersesuaian dengan stailnya yang berhijab.
Fesyen Aina di pentas Anugerah Juara Lagu
Sumpah
Penampilan sulung Aina Abdul dalam Anugerah Juara Lagu (AJL34) mendapat perhatian ramai bukan sahaja dari segi vokal malah gimik persembahan. Aina yang mengenakan gaun putih dilihat bermain dengan emosi di mana darah keluar membuak-buak bermula dari bahagian leher sehingga membasahi gaun yang dipakai.
Ujar Aina, persembahan yang diberikan merupakan simbolik kepada hancurnya hati seorang wanita kerana menyesal dengan perbuatannya sendiri terhadap orang yang amat disayanginya.
Artikel Berkaitan: Persembahan Didakwa ‘Trigger’ Pesakit Mental, Aina Abdul Jawab Kontroversi Gaun Bermandi Darah
Semalam
Perjuangan Aina untuk bertanding di pentas AJL nampaknya tidak terhenti apabila lagu ‘Semalam’ berjaya mara ke pentas AJL35. Memilih busana yang agak besar, Aina tampil menjelaskan setiap perincian busana tersebut.
Menurut Aina, topi yang direka seperti sebuah tempat tidur seorang bayi itu adalah hasil interpretasi lirik “tinggal ku sendiri, ditemani jasad ini”. Bait kata “jasad ini” itu adalah metafora kepada figura seorang bayi atau kanak kanak kecil yang ada bersama-sama wanita ini sewaktu berlakunya kisah “SEMALAM”.
Manakala, jaket bersiluet besar dengan perincian susunan kain pleated yang kelihatan sarat pula menggambarkan kisah penderitaan yang dialami oleh wanita itu sangat berat dan banyak sekali. Perincian pleated pada jacket tersebut dipilih hasil inspirasi daripada daun palas kipas atau “palm tree”.
Ianya merupakan interpretasi seni reka fesyen terhadap lirik “diri ini bagai daun gugur”. Warna hitam juga dipilih untuk melambangkan daun tersebut sudah tua, kering dan layu. Ia juga simbolik kepada perkataan “SEMALAM” yang selalu dikaitkan dengan warna hitam dan gelap.
Artikel Berkaitan: Baju Disamakan Dengan Ikan Laga? Ini ‘Mesej’ Sebenar Yang Aina Abdul Cuba Sampaikan
Sepi
Pada acara Anugerah Juara Lagu ke-36, fesyen unik Aina sekali lagi menjadi tumpuan apabila penyanyi itu dikatakan seperti ‘pokok bunga’ dan trofi Grammy.
Aina mengakui baju yang digayakan ketika menyanyikan lagu Sepi itu diinspirasikan daripada trofi, Grammy Awards serta mempunyai maksud mendalam.
Sebenarnya, baju itu inspirasi daripada trofi Grammy Awards, Oscar dan termasuklah trofi AJL yang bersalut dan berona emas.
Kita nak beritahu walaupun tak menang, kita tetap akan rasa seperti pemenang. Terima kasih kepada pereka busana tersebut, Tengku Syahmi. Dia juga orang sama yang buat baju ketika era ‘berdarah’ lagu Sumpah dahulu.
Nafas Cinta
Mengulas mengenai busana pokok bunga pula, Aina berkata gaya simbolik bunga mekar itu sesuai dengan perjalanan lagu yang didendangkan.
Busana (bunga) daripada Melinda Looi. Beliau beri input (pendapat) yang sangat baik. Saya cakap nak satu tema yang membawa maksud mekar berkembang sesuai dengan lagu. Akhirnya, jadi busana yang mega bertemakan bunga. Kami gunakan banyak ranting, bunga hidup dan juga bunga plastik.
Artikel Berkaitan: ‘Upgrade’ Fesyen Dari Sekuntum Bunga Ke Sepohon Pokok, Penampilan Aina Abdul Di AJL36 Buat Netizen Terhibur
Terus Hidup
Sempena Anugerah Juara Lagu Ke-37 pula, Aina memilih untuk memakai busana ‘kembang’ bewarna putih sambil dipenuhi lambakan awan putih. Ujar Aina, dia mahu penonton menghayati setiap bait-bait lirik lagu ‘Terus Hidup’.
Berjaya merangkul gelaran juara pada malam tersebut, Aina bercerita lebih lanjut kepada rakan media mengenai busana yang digayakannya. Jelas Aina, tema kepulan awan adalah simbolik kepada arwah bapa yang pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.
Berbicara lebih lanjut, Aina berkata idea tersebut tercetus semasa dia dan pasukannya melakukan perbincangan di kediaman jurusolek, Bobo Cinta.
Artikel Berkaitan: #AJL37: Guna Lebih 200 Meter Kain, Kepulan Awan Simbolik Aina Abdul Untuk Arwah Ayah
Sekadar info, Aina bakal mempertaruhkan lagu ‘Jangan Mati Rasa Itu’ sempena Anugerah Juara Lagu ke 38. Korang rasa fesyen atau stail macam mana pula yang akan digayakan oleh Aina nanti? Nantikan!