Seorang pekerja ladang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Tawau atas tuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun sehingga melahirkan bayi lelaki pada November lalu.
Artikel Berkaitan: Rogol Budak Bawah Umur Sampai Lahirkan Anak, Buruh Dipenjara 30 Tahun & 8 Sebatan
Mengaku bersalah
Memetik laporan Harian Metro, tertuduh Muhammad Alim, 47, mengaku bersalah selepas pertuduhannya itu dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Muhammad Ali yang juga merupakan pemegang pasport warga Indonesia didakwa merogol kanak-kanak berkenaan di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit terletak di Semporna, Sabah pada 2 April tahun lalu kira-kira jam 4 petang.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana yang mewakili plaintif membuat permohonan agar hukuman berat diberikan kepada tertuduh atas faktor mengambil kira kepentingan awam selain kesan trauma dialami mangsa selepas dirogol tertuduh.
Mohd Suhaimi menguatkan lagi hujahnya dengan memaklumkan mangsa dalam kes ini yang masih bersekolah sepatutnya menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak perempuan lain namun terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu dalam usia yang sangat muda.
Laporan daripada Jabatan Kimia juga mengesahkan tertuduh adalah bapa kandung bayi terbabit.
Pendakwaan juga mengambil kira faktor tertuduh dalam kes ini adalah warga asing yang masuk ke negara ini sewajarnya dijatuhi hukuman berat selain perlu diusir pulang ke negara asal.
Hakim kemudiannya memerintahkan tertuduh untuk dipenjara selama lapan tahun dan empat sebatan bermula dari tarikh tangkapan.
Bukan itu sahaja, Hakim juga memerintahkan tertuduh untuk diusir pulang ke negara asal sebaik sahaja hukumannya selesai.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh disyaki merogol mangsa yang sedang tidur bersendirian di rumahnya kira-kira 4 petang pada 2 April tahun lalu.
Tertuduh kemudiannya berjaya ditangkap pihak polis pada 21 November lalu selepas mangsa mengadu sakit perut sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.
Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengandung 38 minggu dan selamat melahirkan bayi lelaki sebelum mendedahkan dia telah dirogol oleh tertuduh.
Sumber: Harian Metro