Sumber foto: Harian Metro
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Artikel Berkaitan: ‘Keputusan Mahkamah Betul & Perlu Dihormati’ – Anak Rosmah
Artikel Berkaitan: Saya Dibesarkan Untuk Sentiasa Berkata Benar Dan Tidak Menipu – Rosmah
Pengubahan wang haram, LHDN
Memetik Harian Metro, Hakim K Muniandy membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Najib Razak itu untuk membatalkan semua tuduhan tersebut.
Rosmah dalam permohonannya sebelum ini berhujah, kualiti hidupnya terjejas akibat ketidakadilan prosedur dalam kes itu.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan semua tuduhan adalah sah di sisi undang-undang dan mengandungi maklumat mencukupi untuk memaklumkan tertuduh mengenai kesalahan yang didakwa.
Perkara itu sekali gus membolehkan Rosmah menyediakan pembelaan yang sewajarnya.
Pada 23 Ogos lalu, peguam mewakili Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan dan pendakwaan mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, turut bersetuju tetapi menyatakan proses dokumentasi masih pada peringkat akhir sebelum perintah mahkamah dapat diteruskan.
Pada 13 Disember tahun lalu, Rosmah mengemukakan tiga surat representasi untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.
Rosmah sebelum ini mengemukakan dua permohonan seumpamanya iaitu pada 3 Mei dan 18 Ogos, yang belum diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.
Dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada 4 Oktober 2018 sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.
Rosmah menghadapi 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 Disember 2013 hingga 8 Jun 2017.
Sumber: Harian Metro