berita

Rumah Hanyut Dibawa Arus Deras, Jasad Wanita Strok & Ibu Hamil Ditemui Berpelukan

July 5th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Astro Awani

Seorang wanita strok bersama menantu yang sedang hamil empat bulan dan seorang lagi anak lelaki dipercayai hilang selepas rumah didiami mereka dibawa arus deras dalam kejadian banjir yang melanda Kampung Iboi, Kupang petang kelmarin.

Rumah hanyut dibawa arus deras

Abd Rahman Said menunjukkan gambar isterinya yang hilang bersama menantu dan anak tirinya (Harian Metro)

Menurut Abd Rahman Said, ketiga-tiga mangsa adalah ahli keluarganya iaitu isterinya, Salmah Mat Akib, 53, menantunya Nurul Hanis Abu Hassan, 23, dan anak tirinya Mohd Khairul Ikhwan Nor Azman berusia 14 tahun.

Ketika kejadian saya tidak berada di rumah dan bila menantu telefon saya beritahu dia saya dalam perjalanan balik. Tapi dalam perjalanan balik itu banyak halangan di jalan raya. Jadi saya lambat sampai ke rumah.

Tambah Abd Rahman lagi, setibanya di simpang Lata Celak, dia mendapati rumah mereka telah hilang dibawa arus manakala isteri, menantu dan anak gagal dihubungi. Difahamkan, ketiga-tiga mangsa termasuk isteri Abd Rahman yang sedang terlantar kerana strok serta menantu yang hamil empat bulan tidak dapat menyelamatkan diri kerana kejadian berlaku begitu pantas.

Reda dengan segala ketentuan

Khairul Ashraf menunjukkan gambarnya bersama isteri Nurul Hanis Abu Hassan (Harian Metro)

Suami Nurul Hanis iaitu Khairul Ashraf Nor Azman memaklumkan ketika kejadian, dia sedang bekerja di Pulau Pinang namun bergegas pulang selepas dimaklumkan oleh kakaknya mengenai banjir yang berlaku.

Saya dan isteri tinggal di Pulau Pinang, namun isteri minta balik ke kampung dan tinggal dengan emak saya untuk jaga dia sebab emak kena strok.

Sebelum kejadian kami juga sempat berbalas mesej dan dia meminta saya membelikan dia makanan dan macam-macam benda lain, tapi bila kejadian ini berlaku tak sempat saya nak tunaikan permintaan dia.

Terbaru Harian Metro melaporkan, mayat Nurul Anis Abu Hassan yang hamil empat bulan bersama ibu mentuanya, Salmah Mat Akib ditemui dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan batang pokok yang turut dihanyutkan arus deras. Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah iaitu Sayani Saidon, kedua-dua jasad mangsa ditemukan dalam keadaan baik dan tiada kesan kecederaan.

Mangsa dipercayai hanyut sebelum tersangkut pada kayu dan batu menyebabkan mangsa terperangkap di bawah timbunan kayu.

Tumpuan seterusnya adalah melakukan pencarian remaja lelaki berusia 14 tahun, Khairul Ikhwan Nor Azman yang masih hilang.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×