Selepas berjaya mengutip kutipan besar menerusi filem ‘Anak Perjanjian Syaitan 2’, pengarah hebat iaitu Dr. Ahmad Idham bakal kembali menerusi karya terbaharunya yang berjudul ‘Sahak Gangster’.
Artikel Berkaitan: Pierre Andre Akui Mencabar Mengarah Filem ‘Jangan Pandang Belakang 2’, Nak Angkat Semula Genre Seram Filem Tempatan
Filem bergenre aksi komedi
Filem yang bercorak aksi komedi ini sememangnya sinonim dengan Ahmad Idham yang banyak membawakan karya seperti itu ke layar perak.
Menurut Ahmad Idham, perancangan untuk menghasilkan filem ini adalah daripada penerbit sendiri iaitu yang beranggapan filem bergenre aksi komedi mempunyai tarikan tersendiri untuk menarik minat penonton tempatan.
Saya tertarik untuk mengarahkan filem melihat konsep ceritanya yang menjurus kepada istilah ‘Gangster Wanna Be’, yang sarat dengan humor dan aksi.
Lagipun saya dah lama tak hasilkan sebuah filem berkonsepkan komedi aksi.
Jadi, saya sahut cabaran untuk bertindak sebagai pengarah filem ini.
Dalam pada itu, Ahmad Idham menyatakan filem terbaharu arahannya ini mempunyai kelainan berbanding dengan filem-filem genre sama yang pernah dihasilkannya sebelum ini.
Antara kelainannya adalah karakter Sahak itu sendiri. Dalam filem ini, saya paparkan Sahak ini adalah seorang mahu terlibat dalam dunia gangster.
Namun, secara hakikatnya Sahak ini sebenarnya tidak sesuai untuk berada dalam dunia tersebut dan kemudian terjebak dalam satu insiden sehingga dia diburu.
Yana Samsudin kembali ke layar perak
Bercakap mengenai pemilihan pelakon, Ahmad Idham memaklumkan sebab dirinya memilih Hariz Hamdan dan Nelissa Nizam sebagai peneraju utama selepas melihat bakat serta potensi yang ada pada kedua pendatang baharu itu.
Lebih teruja, filem ‘Sahak Gangster’ ini turut menampilkan pelakon, Yana Samsudin yang sudah lama tidak membintangi mana-mana filem sejak lapan tahun yang lalu.
Memang saya rancang nak ketengahkan bakat-bakat baru dan saya menjangkakan apabila filem ini ditayangkan, nama Hariz dan Nelissa semakin dikenali ramai.
Jadi, untuk mengurangkan risiko itu, saya tampilkan juga pelakon yang dah ada nama seperti Yana Samsudin, Usop Wilcha, Mamak Puteh, Razak Ahmad dan Chiwan Raja Lawak.
Saya letakkan Yana Samsudin yang memegang watak Kak Yong dalam Sahak Gangster. Watak Kak Yong itu sendiri memang sudah cukup dikenali ramai.
Begitu juga saya memasukkan elemen dalam filem Bad Boys dengan menggandingkan Razak dan Chiwan yang berpasangan sebagai anggota polis.
Sahak Gangster
Filem ‘Sahak Gangster’ ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Sahak yang dibesarkan oleh Pak Andak, seorang gangster kawasan yang amat digeruni.
Sahak merupakan harapan utama Pak Andak untuk menerajui Geng Bunga Merah satu hari nanti.
Namun, segala harapan itu kemudiannya berubah apabila satu hari Pak Andak telah ditangkap polis ketika hendak menyelamatkan anak saudaranya, Maya dari musuh tradisinya Geng Pak Man.
Setelah lima tahun, Pak Andak dibebaskan dari penjara. Namun, pada hari dia dibebaskan, Pak Andak telah ditembak secara hendap dan meninggal dunia di pangkuan Sahak.
Sebelum meninggal, Pak Andak sempat meninggalkan amanat pada Sahak untuk mencari siapa yang menembaknya dan membalas dendam.
Apakah amanat itu dan adakah Sahak berjaya untuk membalas dendam? Nantikan filem ‘Sahak Gangster’ yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 9 Januari depan.