
Slip disc atau gelinciran cakera merupakan satu masalah kesihatan tulang belakang yang kini semakin kerap dialami oleh ramai individu.
Artikel Berkaitan: Manfaat Pengambilan Minyak Ikan Untuk Kesihatan & Minda
Artikel Berkaitan: Bukan Sekadar Bau Busuk Tapi Racun! Ini Kesan Buruk Terhadap Perokok Pasif
Tulang belakang terkeluar
Slip disc berlaku apabila cakera lembut yang berfungsi sebagai kusyen di antara tulang belakang terkeluar daripada kedudukan asalnya, lalu menekan saraf di sekitarnya.
Keadaan ini boleh menjejaskan pergerakan, kualiti hidup serta produktiviti harian seseorang jika tidak dirawat.
Terdapat beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca slip disc, antaranya postur badan yang tidak betul dalam jangka masa panjang, berat badan berlebihan yang menekan tulang belakang, serta faktor genetik yang meningkatkan risiko masalah ini.
Selain itu, proses penuaan juga memainkan peranan penting kerana cakera tulang belakang akan semakin haus dan kehilangan keanjalan dari semasa ke semasa.
Kecederaan akibat jatuh, hentakan kuat atau kemalangan turut menjadi penyumbang utama kepada gangguan kedudukan cakera.
Masalah slip disc ini boleh berlaku di mana-mana bahagian tulang belakang, sama ada di kawasan leher, bahagian tengah belakang badan dan bahagian pinggang.
Individu yang mengalami masalah ini lazimnya akan berdepan dengan simptom seperti rasa lemah pada kaki, kebas atau kesakitan yang menjalar ke anggota bawah.
Dalam kes lebih serius, seseorang itu boleh mengalami gangguan saraf hingga berisiko lumpuh, serta hilang kawalan pembuangan air kecil dan besar, atau dikenali sebagai sindrom cauda equina.
Langkah pencegahan
Bagi mengekalkan kesihatan tulang belakang dan mengurangkan risiko slip disc, langkah pencegahan boleh diamalkan dengan menjaga postur tubuh ketika duduk dan berdiri supaya tulang belakang kekal lurus serta tidak membongkok.
Amalan merokok juga wajar dihentikan kerana ia menjejaskan aliran darah ke cakera tulang belakang dan mempercepatkan proses kerosakan.
Selain itu, lakukan senaman berkala, pengurusan tekanan emosi, serta usaha mengekalkan berat badan pada paras ideal juga dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh tulang belakang.
Teknik mengangkat barang juga perlu dilakukan dengan betul, iaitu dengan membengkokkan lutut dan sendi pinggul sambil mengekalkan tulang belakang dalam keadaan lurus.
Di samping itu, menukar posisi duduk secara berkala dan sentiasa memperbetulkan postur dapat mengelakkan tekanan berlebihan pada tulang belakang.
Dari segi rawatan, pesakit biasanya akan diberikan ubat tahan sakit dan ubat anti-radang seperti NSAID untuk mengurangkan kesakitan.
Dalam sesetengah kes, penggunaan alat sokongan seperti bengkung atau pendakap belakang disarankan bagi membantu mengekalkan postur tubuh yang betul serta melindungi tulang belakang daripada tekanan berulang.
Ubat untuk merehatkan otot juga boleh diberikan terutamanya pada peringkat awal serangan, memandangkan pesakit sering mengalami kekejangan otot yang menyebabkan kesakitan bertambah teruk.
Walau bagaimanapun, sekiranya simptom slip disc semakin serius, anda dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut daripada pakar perubatan dengan segera bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang.
Sumber: e Central