berita

‘Sampai Jatuh Pengsan!’ – Jemaah Tabligh Positif COVID-19 Buka Cerita

April 6th, 2020 | by Arini Saleh
Kini Trending

Dikuarantin di Hospital Sungai Buloh selepas disahkan positif COVID-19 adalah satu pengalaman yang sukar digambarkan. Jemaah tabligh, Muntaha Abdullah menerusi laporan Harian Metro menceritakan situasi sebak yang dialaminya ketika di wad. Dia kini difahamkan sudah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

Sanggup pakai PPE berjam-jam

Sekadar gambar hiasan

Menurutnya, dia melihat sendiri bagaimana staf dan barisan hadapan (frontliners) bertungkus lumus dan sanggup memakai pakaian khas peralatan perlindungan diri (PPE) selama berjam-jam.

Nak cerita pengalaman bersama staf dan frontliners (barisan hadapan) semasa dirawat di HSB. Untuk pengetahuan semua, HSB adalah hospital di Selangor yang dikhususkan merawat pesakit Covid-19. Menurut maklumat seorang daripada jururawat di situ, asalnya dia adalah jururawat bertugas di Wad Bersalin.

Beliau berkata, sebelum kes pesakit Covid-19 mula ditempatkan di situ, pihak pengurusan hospital sudah memindahkan terlebih dahulu pesakit bukan kes Covid-19 ke hospital yang lain. Kemudian, HSB dikhususkan untuk menempatkan pesakit Covid-19 disahkan positif atau berkemungkinan besar adalah positif.

Apabila berhadapan pesakit, mereka harus memakai sut yang memenuhi standard yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Peluh menitik-nitik di dahi

Sekadar gambar hiasan

Tambahnya lagi, dia sebagai pesakit tidak pernah membayangkan bagaimana rasanya memakai sut tersebut namun pernah sekali dia melihat peluh menitik-nitik di dahi salah seorang jururawat yang memeriksanya.

Kita yang bukan staf di hospital ini memang tak pernah merasa betapa seksanya mereka yang terpaksa memakai sut sebegini.

Pernah pada suatu hari semasa berada di wad, seorang jururawat datang ke bilik kami untuk buat check-up (pemeriksaan) rutin. Dia mengambil suhu badan, tekanan darah dan denyutan nadi. Bergerak dari satu katil ke satu katil sambil membawa peralatannya.

Saya memang sudah bersedia di katil. Apabila dia menghampiri, saya segera menghulurkan sebelah tangan. Dalam hati berbicara ‘Hurmm…check lagi…’

Namun, sewaktu dia menjalankan tugas dalam keadaan badan sedikit membongkok, saya terpandang sesuatu. Di sebalik perlindungan plastik (shelter) di mukanya, terlihat titik-titik peluh di dahinya. Jarang sekali saya melihat ke arah muka jururawat sebegitu. Kalau tengok pun, sekali imbas saja.

Tetapi pada hari itu seolah-olah Allah sengaja memperlihatkannya di depan mata. Perasaan terus tersentap. Ya Allah…dalam bilik berhawa dingin boleh berpeluh, apatah lagi staf lain yang di luar sana? Saya cuba membayangkan keadaan mereka seketika. Dalam keadaan panas di luar sana, mereka sanggup pakai sut itu berjam-jam!

Muntaha Abdullah yang sangat tersentuh dengan pengorbanan frontliners mengucapkan terima kasih dengan warga kerja KKM. Dia menyaksikan sendiri bagaimana mereka sanggup bekerja melebihi 12 jam dengan memakai sut memerap peluh tersebut.

Sampai jatuh pengsan

Sekadar gambar hiasan

Katanya lagi, ada staf yang keletihan sehingga jatuh pengsan.

Ada yang sampai lebih 12 jam, 14 jam dan ada yang sampai 16 jam! Sehingga ada yang keletihan sampai jatuh pengsan! Tiada masa cukup untuk beribadat, bersama keluarga dan buat aktiviti lazim kita buat di rumah. Sehingga ada petugas yang hanya memandang anak dari jauh kerana takut tersebar virus kepada ahli keluarga. Itu belum kira lagi risiko mereka mungkin terjangkit virus Covid–19 dari pesakit pula.

Dia turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua pihak terbabit dalam operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia yang berjaya sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah sempat berpesan supaya duduk di rumah dan membantu kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Sumber : Harian Metro

SKIP THIS AD ×