Menerusi Harian Metro, seorang kanak-kanak berusia 2 tahun, Nur Qaisara Medina Supian maut akibat tertusuk pisau. Insiden yang berlaku di Parit Telok Pial, Kuala Kurau itu terjadi ketika dia berlari untuk meminta susu.
Namun, siapa sangka dalam sekelip mata Sara maut selepas terjatuh ke lantai lalu terkena tusukan pisau di dalam pinggan.
Berlari terpijak pisau
Dalam kejadian di rumah ibu bapanya pada 9.30 pagi tadi, mangsa tertusuk pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter (cm) di bahagian kiri perut yang terbenam hingga paras hulu pisau.
Sara minta susu dengan saya. Masa itu saya sedang buai anak yang bongsu di bahagian dapur dan suruh dia tunggu sekejap.
Dia terus lari ke arah neneknya yang ada berhampiran untuk minta buatkan susu, malangnya ketika berlari dia terpijak pinggan plastik yang ada pisau dan terjatuh atas lantai.
Cabut pisau kerana panik
Ketika dalam kejadian, anak keempatnya daripada lima beradik itu baharu sahaja selesai mandi dan tidak sempat memakai lampin pakai buang dan pakaian lagi.
Sebaik terjatuh Sara terus menangis kuat dan saya terus lari dapatkannya serta meribanya namun masa itu saya tidak nampak pisau tertusuk di perut kirinya. Bila saya usap badannya barulah terasa hulu pisau yang warnanya sama dengan warna kulit anak.
Tiada darah yang keluar dari tusukan itu, namun ibu mentua saya yang mungkin panik terus mencabut pisau berkenaan dan Sara daripada merengek terus senyap.
Menurut ibu Sara, dia kemudian terus meminta bantuan jiran untuk menghantar anaknya ke klinik berhampiran, namun anaknya sudah tiada pergerakan ketika itu.
Pihak klinik terus menghantar anaknya ke Hospital Parit Buntar yang kemudian mengesahkan anaknya itu sudah tiada lagi.
Anak sudah disahkan meninggal dunia
Sebaik dimaklumkan saya terus ke hospital namun anak saya disahkan sudah meninggal dunia.
Pisau yang tertusuk anak saya itu adalah pisau melapah daging lembu, namun pagi tadi anak saya yang sulung dan kedua menggupas buah mempelam serta meninggalkannya atas pinggan di lantai.
Menurut Sufian (bapa mangsa), sejak kebelakangan ini anaknya cepat merajuk dan meragam jika tidak dapat apa yang dimahukannya, namun dia redha dengan ketentuan illahi.
Jenazah anaknya itu akan dibawa pulang ke rumahnya di Parit Telok Pial untuk urusan pengebumian yang dijangka akan dibuat pagi esok.
Sumber : Harian Metro,