berita

Sarat Dengan ‘Plot Twist’, Penonton Tak Sabar Nak Tengok ‘Ending’ Penjara Janji. Sediakan Tisu Awal-Awal Tau!

May 5th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Drama ‘Penjara Janji’ yang ditayangkan di slot Samarinda TV3 bermula 12 April lalu nampaknya berjaya menyentuh emosi setiap penonton. Adegan dan jalan cerita yang disajikan dalam drama ini sememangnya menarik, padat dan paling penting penuh dengan mesej tersurat dan tersirat.

Setelah 14 episod ditayangkan, kini drama Penjara Janji ini sudah hampir di penghujungnya. Mesti korang tak sabar nak tengok pengakhiran kisah keluarga Zulkifli ni kan?

Sarat dengan ‘plot twist’

Penjara Janji adalah sebuah naskah terbitan JS Pictures Sdn Bhd yang digarap oleh sutradara Azman Yahya atau lebih dikenali dengan nama Jinggo. Drama yang sarat dengan emosi ini dilakonkan oleh barisan pelakon yang sangat berbakat dan hebat antaranya ialah Alif Satar, Azira Shafinaz, Fauzi Nawawi,  Zulin Aziz, Raja Hakim, Esma Daniel dan ramai lagi. Drama ini menceritakan ‘penyesalan’ seorang bekas banduan, Zulkifli lakonan Fauzi Nawawi terhadap kisah silamnya selepas ‘bersekongkol’ dengan Acai (Aidil Alias) dalam perniagaan pengedaran dadah.

Sehinggalah pada suatu hari, Zulkifli telah ditahan polis dan meringkuk di dalam penjara. Dari situlah bermula segala ‘plot twist’ yang tak terlintas dek akal para penonton. Di penjara di mula bertemu dengan seorang warden penjara, Rizan lakonan Alif Satar. Rizan merupakan satu-satunya pegawai polis yang sangat rapat dengan Zulkifli, malah dia juga sanggup ‘mengetepikan’ tunangnya, Rozita (Azira Shafinaz) semata-mata mahu memenuhi permintaan Zulkifli sebelum lelaki itu ke tali gantung.

Dalam tempoh itu, Rizan menerima berita yang sangat mengejutkan apabila mengetahui sebenarnya Zulkifli itu adalah bapa kandungnya yang tak pernah ditemui selama ini. Lagi membuatkan Rizan buntu selepas dia tahu bapa Rozita iaiu Razlan (Esma Daniel) turut mempunyai sejarah ‘hitam’ dengan Zulkifli.

Sempat ke jumpa Zulaikha dan Azam?

Dalam tempoh tersebut, Rizan berjaya membawa ibunya, Sabariah (isteri Zulkifli) dan Razlan bertemu dengan bapanya di penjara. Zulkifli tidak putus-putus memohon kemaafan dari mereka atas kekhilafan dan kekejaman yang dilakukannya pada suatu ketika dahulu. Tetapi sayangnya, Zulkifli masih tidak berkesempatan untuk bertemu dengan seorang lagi isterinya iaitu Zulaikha dan anaknya, Azam.

Masa semakin suntuk, adakah Sabariah dan Rizan mampu menjejaki keberadaan Zulaikha dan Azam dan adakah Zulkifli sempat bertemu dengan mereka sebelum dia dibawa ke tali gantung? Dan benarkah Sabariah sudah memaafkan Zulaikha yang pernah ‘merampas’ kebahagiaannya dahulu?

Pasti para penonton tertanya-tanya bagaimana pengakhiran drama ini. Sama-sama kita saksikan episod akhir drama Penjara Janji di saluran TV3 pada jam 10 malam ini!

SKIP THIS AD ×