Sebuah akaun siaran langsung di Youtube, LoFi Girl sebelum ini dipadam akibat isu hak cipta yang didakwa berpunca daripada aduan yang dibuat syarikat produksi musik tempatan, FMC Music Sdn Bhd Malaysia.
Selepas menerima kecaman yang teruk daripada peminat akaun tersebut dari serata dunia, jurucakap syarikat tersebut tampil memberi penjelasan.
Sosial media FMC diserang
LoFi Girl, sebuah halaman yang membekalkan musik latar belakang secara langsung itu amat terkenal dalam kalangan pengguna media sosial serata dunia, dan mempunyai lebih 10 juta pengikut.
Oleh itu, FMC Music Sdn Bhd terpaksa menghadap cemuhan warganet yang menyerang halaman media sosial milik syarikat itu selepas nama mereka terpampang menjadi punca halaman LoFi Girl dipadam dari Youtube.
Menjawab kepada tuduhan tersebut, jurucakap FMC Music berkata, akaun Youtube milik syarikat itu telah digodam oleh pengguna lain, dan mereka tidak sedar akan perkara tersebut pada ketika itu kerana sedang bercuti panjang meraikan Hari Raya Aidiladha.
Walau bagaimanapun, mereka sebagai sebuah syarikat musik memahami tindakan warganet yang menyerang halaman mereka kerana menghargai karya musik yang dihasilkan halaman LoFi Girl.
Tambah jurucakap FMC Music, mereka telah membuat aduan kepada Google dan berharap perkara pulih seperti sedia kala.
Selain itu, mereka bertegas bahawa FMC Music tidak ada alasan untuk membuat aduan tersebut kerana musik Melayu tidak berkait langsung dengan genre LoFi Girl.
Terkini, akaun LoFi Girl itu telah kembali aktif dan bersiaran langsung.
Sumber: malaysiakini