Program hiburan keluarga iaitu Famili Duo akhirnya melabuhkan tirainya semalam. Seperti yang semua orang tahu, penyanyi, Mas Idayu tampil memberi komen terhadap persembahan Sissy Imann dan Naim Daniel di pentas akhir program tersebut meskipun pernah terpalit dengan kontroversi dua minggu yang lalu.
Artikel berkaitan: Mas Idayu Puji Vokal Sissy Imann & Naim Daniel, Paling Terbaik Sepanjang Famili Duo – ‘Saya Ikhlas Ini’
Menurut Mas Idayu, dia enggan memberi sebarang kenyataan ketika kontroversi itu masih panas. Ini kerana, dia tidak mahu para peserta terganggu.
Tak kisah orang maki saya
Saya sangat mengalu-alukan netizen memaki diri saya, asalkan jangan ganggu peserta saya. Itu yang saya harapkan, jangan maki peserta. Sebab itu saya tak mahu bersuara langsung sejak awal. Saya tak mahu mereka terganggu. Ada peserta yang mesej saya di Instagram, mereka kata nampak sangat saya sayangkan Sissy dan Naim berbanding mereka.
Itu pun saya diamkan sahaja dan tidak balas mesej mereka kerana orang boleh nampak, saya memberikan teguran yang lebih kepada mereka berbanding peserta lain.
Ketika ditemu bual bersama OhBulan!, Mas Idayu berkata dia tidak terasa hati dengan tindakan Sissy, meskipun dirinya terdedah dengan kejian, cacian dan hinaan selama seminggu.
Saya tak terluka dengan tindakan Sissy yang menangis selepas diberikan komen dan berkongsi beberapa hantaran di Instagram selepas kejadian itu. Apa yang saya nampak, dia tak marah saya. Apa yang saya perhatikan, perasaannya lebih kepada kecewa dengan diri dia. Tetapi, kerana dia mendiamkan diri, netizen hentam saya.
Nak mereka kuat seperti yang lain
Dalam masa seminggu kejadian berlangsung, saya dapat panggilan b*bi, c*laka, s*al, anj**g dan sebagainya, tetapi saya tak nak jawab apa-apa pun kerana saya enggan mereka kacau peserta. Saya nak mereka fokus sehingga perjuangan tamat di pentas Famili Duo, itu yang saya harapkan. Makilah saya dahulu.
Ditanya mengapa tidak memberikan komen kepada Sissy dan Naim selepas selesai persembahan minggu separuh akhir, Mas Idayu memberitahu dia mempunyai alasan tersendiri.
Saya nak mereka kuat seperti orang lain. Saya nak Sissy dan Naim minta sendiri saya komen kerana saya nak mereka kental macam peserta lain. Sissy dan Naim sangat bijak dalam muzik, cuma mungkin di minggu keenam ada silapnya. Pernah tak sejak minggu pertama, juri katakan mereka tak bagus? Tak ada. Minggu keenam sahaja. Saya tak rasa apa-apa apabila dihamburkan kata-kata kejian kerana saya kental. Saya tak peduli, jika orang lain nak marah.
Menerusi konsert akhir semalam, Naim dan Sissy berjaya meraih tempat keempat dan membawa pulang RM10,000.