Baru-baru ini, nama pelawak terkenal, Johan menjadi sebutan ramai selepas tindakan mulianya membantu sebuah keluarga yang mengalami kerosakan kereta di tepi jalan.
Artikel Berkaitan: Ozlynn Terharu Anak Di Ireland Berjimat Cermat, Catat Perbelanjaan Bulanan – ‘Mama Akan Cari Duit Untuk Abang’
Tak tahu dah viral
Ketika ditemui OhBulan!, Johan menyatakan dia terdetik untuk menolong selepas melihat anak kecil yang berada di dalam kereta itu.
Kata penyampai radio berumur 38 tahun ini, dia meletakkan situasi yang sama sekiranya berlaku kepada anak-anaknya.
Pertama kali bila saya dapat tau dah viral, saya sebut ‘Jazakallahu Khair’. Sebab saya tak sangka. Saya tak tahu sampai la adik beradik saya yang bagi link.
Saya berhenti sebab nampak budak. Kalau tak ada budak, belum tentu saya nak berhenti. Saya letak situasi kalau anak saya yang berada di situ. Siapa nak tolong?
Apa saya buat, saya tak minta balasan. Tapi ingat, setiap perbuatan ada balasan. Mana tau nanti anak saya susah, mungkin dia akan tolong. What goes around comes around.
Johan mengulas perkara tersebut ketika majlis sidang media program ‘Ceria Popstar Extra’ yang diadakan di The Garden Mall, Mid Valley City, pada Selasa.
Ujian untuk saya
Bagaimanapun, Johan akui timbul perasaan risau selepas menerima pujian daripada orang ramai kerana khuatir perwatakannya akan berubah.
Bagi suami kepada pelakon Ozlynn Waty ini, pujian juga merupakan satu ujian yang diturunkan kepada dirinya.
Terlalu banyak komen yang saya terima. Pujian itu sebenarnya ujian kepada saya. Saya risau jatuh riak, takabur. Hati kecil ini ada terdetik, ‘ala nanti nak tolong orang, ada yang fikir nak viral lagi.’ Dia jadi macam itu pula.
Saya tak baca komen sebab segala pujian hanya untuk Allah. Mungkin itu satu ujian besar Allah hantar. Selepas jadi macam ini, nak buat lagi tak? Ikhlas ke..apa niat pula?
Dalam pada itu, pengacara ini juga mendedahkan ada juga dalam kalangan kenalan yang terfikir untuk merosakkan kereta sendiri semata ingin dia membantu.
Kawan saya ada hantar mesej nak rosakkan kereta, siap nak bawa anak sekali. Saya cakap itu bukan rosak kereta tapi rosak akhlak. Ada yang tanya saya lepas ini lalu mana nak pergi kerja? Kau dah kenapa?
Sebelum ini, menerusi perkongsian di Facebook, wanita yang dikenali Nor Aqmar Kaseh mendedahkan Johan datang menawarkan bantuan selepas kereta yang dinaikinya rosak di tepi jalan.
Cerita Aqmar, Johan juga sempat menghulurkan wang ringgit kepada anak-anaknya sebelum berlalu pergi.
Sumber: Foto Azrul Rafie