Foto: Dexerto
Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun didakwa tergamak membunuh kakak kandungnya yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) sehari selepas video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya viral.
Bunuh kakak lepas video viral
Foto: Daily Star
Memetik laporan Daily Star, suspek yang dikenali dengan nama Claire Miller dari Amerika Syarikat itu telah membuat pengakuan kepada pihak polis bahawa dia telah membunuh kakak kandungnya, Helen Miller yang berusia 19 tahun. Difahamkan, mangsa menghidapi penyakit cerebral palsy dan hanya menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
Selepas membunuh, suspek sendiri telah menghubungi panggilan kecemasan pada 22 Februari lalu jam 1 pagi untuk melaporkan tentang kejadian. Menurut sumber, semasa pihak polis tiba di rumah terbabit, mereka melihat suspek sedang mencuci kesan darah pada tangannya sambil berkata ‘saya dah tikam kakak’.
Pisau di leher mangsa
Foto: Daily Star
Mayat mangsa kemudian ditemui dalam keadaan terduduk di atas kerusi roda di dalam bilik tidur dengan tubuhnya berlumuran dengan darah. Lebih mengerikan apabila melihat satu bilah pisau besar berada di lehernya dan bantal dengan kesan darah di wajahnya. Susulan daripada itu, suspek telah ditahan oleh pihak polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, kejadian pembunuhan ini dipercayai dilakukan oleh Claire Miller sehari selepas video TikToknya viral sehingga mendapat lebih daripada 5 juta tontonan. Walaupun begitu, tidak dapat dipastikan isi kandungan video tersebut dan akaun TikTok suspek juga telah digantung.
Sumber: Daily Star, Insider