Selepas kecoh dakwaan yang kononnya Laudya Cynthia Bella sudah bergelar isteri kepada seorang lelaki Dubai, baru-baru ini aktres itu mengumumkan bersara daripada dunia hiburan.
Artikel Berkaitan: Ingin Berjaya Dunia & Akhirat, Laudya Cynthia Bella Umum Bersara Dari Dunia Seni – ‘Doakan Saya Istiqomah Ya’
Sokong keputusan
Pelakon Fedi Nuril yang pernah berlakon sekali dengan Bella, 34, dalam filem fenomena, Surga yang Tak Dirindukan menghormati keputusan untuk berundur dari industri seni.
Kata Fedi, Bella sudah menunjukkan hasrat untuk bersara sekian lama apabila menolak untuk melakukan babak bersentuhan.
Saya sebagai kawan menyokong apa sahaja yang membuatkan dirinya nyaman (selesa).
Saya tengok kali terakhir penggambaran (berlakon), dia sudah mulai tidak bersentuhan dan sebagainya.
Memang agak sukar untuk menjayakan karya romantis dengan tidak bersentuhan apatah lagi, kisah yang dijayakan melibatkan peranan suami isteri.
Fedi ditemui ketika majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, Satria Dewa: Gatotkaca yang diadakan di TGV Sunway Pyramid, pada Isnin.
Filem Satria Dewa: Gatotkaca mengisahkan mengenai adiwira legenda Indonesia, Gatotkaca dan dibintangi barisan pelakon antaranya Rizky Nazar, Yasmin Napper, Omar Daniel, Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman.
Filem aksi ini akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 18 Ogos ini.
Doa yang baik-baik
Ditanya sama ada bekas isteri kepada usahawan, Engku Emran Engku Zainal Abidin ada bertemu dengannya untuk meminta pendapat sebelum membuat keputusan.
Tidak ada. Sekalipun dia datang kepada saya minta pendapat, saya hanya akan cakap, buat sahaja apa yang membuatkan dirinya baik, gembira dan tenang.
Dalam pada itu, pemilik nama Fedrian Nuril berharap agar sahabatnya bertemu dengan ketenangan dan kedamaian yang dicari.
Bagi saya, kalau memang dia sudah tidak nyaman dan ingin keluar daripada industri, tiada masalah.
Yang penting, buat sahaja apa yang membuatkan kita bahagia dan berasa selesa. Saya berharap dia bertemu ketenangan dan kedamaian.
Sebelum ini, pengurus kepada Bella menafikan dakwaan kononnya pelakon itu sudah bernikah sekali lagi selepas tular sebuah video di media sosial.
Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran pada September 2017 namun bercerai pada Julai 2020.