Pelakon Sharnaaz Ahmad tiba ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 9.14 pagi bersama peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Mohamed Baharudeen Mohamed Arifff.
Hormati prosedur mahkamah
Ketika ditemui OhBulan! Sharnaaz berkata, dia memahami dengan prosiding mahkamah meskipun kes itu sudah berjalan dari bulan Januari dan berlanjutan sehingga Mei depan.
Saya rasa proses mahkamah memang lama, sebab saya pun pernah bercerai jadi saya tahu.
Jadi kita kena faham bukan kita seorang saja hakim nak layan, kita ada prosedur, jadi kita kena ikut caranya. Kita hormati prosedur mahkamah.
Tambah aktor berumur 38 tahun, dia bersyukur perjalanan selama lima bulan berjalan dengan lancar dan harapnya boleh diselesaikan mengikut tarikh ditetapkan.
Alhamdullillah setakat ini perjalanan sangat lancar, dan kita pun mahu sampai bulan puasa, jadi saya harap benda ini boleh selesai seperti tarikh yang ditetapkan iaitu 5 Mei.
Harap benda ini boleh selesai dalam tempoh itu. Kita tengok mana yang terbaik.
Pasal berlakon saja saya tahu
@ohbulanofficial Ohhhh macam tu #ohbulan #sembangentertainment #sharnaazahmad #harap #kes #selesai #mei #viral #trending #artis #tiktokviral ? original sound – OHBULAN!
Pemilik nama Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad juga menyatakan dia menyerahkan sepenuhnya kepada kedua-dua peguam yang sudah dilantik.
Jujurnya pasal benda ini memang saya serahkan pada yang lebih arif, kalau nak tanya saya pasal berlakon, saya boleh jawab. Tapi kalau nak cerita pasal prosedur memang saya tak pandai.
Saya serahkan pada orang yang tahu macam mana nak menguruskan keadaan ini. Jadi harap bila saya ada dua peguam yang sangat hebat di sebelah saya, saya senyum sajalah.
Minta pertuduhan digugurkan
Sementara itu, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata tujuan utama adalah bagi menggugurkan pertuduhan ini.
Pagi ini pembelaan sudah diserahkan dengan dokumen kepada pihak pendakwaan, jadi pihak pembelaan sudah memohon pada mahkamah untuk mendapatkan satu tarikh sebutan bagi pihak kami untuk memfailkan representasi dan sekali gus menunggu tarikh untuk keputusan.
Jadi mahkamah sudah bersetuju dengan permohonan pihak pembelaan dan menetapkan tarikh sebutan akan datang pada 5 Mei.
Utamanya kami meminta pertuduhan digugurkan, tengok macam mana sebab kita baru dapat dokumen dan kita akan memperhalusi dokumen itu dengan perbincangan bersama Sharnaaz.
Mahkamah Majistret Jenayah 1, menetapkan tarikh 5 Mei depan sebagai tarikh baharu bagi serahan dokumen bagi Sharnaaz memfailkan representasi.
Pada 18 Januari lalu, Sharnaaz mengaku tidak bersalah dan dikenakan ikat jamin sebanyak RM2,000.
Terdahulu, polis menahan Sharnaaz selepas didakwa menumbuk dan menendang seorang lelaki sebuah kondominium di Segambut pada 16 Jun, tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang juga pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.
Bagaimanapun, rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan menyebabkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan itu.
Sharnaaz yang melihat insiden itu datang menegur, sebelum mangsa didakwa ditumbuk olehnya hingga lebam pada muka.
Berikutan kejadian, Sharnaaz direman empat hari dan dibebaskan sementara kertas siasatan lengkap untuk pertuduhan.