Umum mengetahui, Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur membenarkan saman yang dikemukakan syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd. terhadap pelakon Amelia Henderson berhubung isu pelanggaran kontrak drama Sekali Lagi Cinta Kembali, tahun lalu.
Keputusan tersebut diputuskan selepas Hakim Zulqarnain Hassan mendapati Amelia selaku defendan secara jelas telah melanggar terma-terma kontrak dalam drama terbabit.
Artikel berkaitan: Syarikat Produksi A.Aida Menang Saman, Amelia Henderson Diperintah Bayar Lebih RM200k
Terbaru, penerbit, Datuk A Aida berkata dia sudah maafkan pelakon tersebut, namun tidak berhasrat bekerjasama dengannya lagi pada masa hadapan.
Tak marah pun
Sepanjang menjadi penerbit, A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang memberitahu ini kali pertama dia berdepan pengalaman sedemikian hingga terpaksa ke mahkamah.
Saya maafkan Amelia, tak marah pun. Tapi, untuk akan datang saya tidak akan bekerjasama dengannya lagi. Sepanjang saya jadi penerbit, ini pertama kali artis menarik diri di saat akhir.
Tidak pernah seumur hidup saya berlaku perkara seperti ini. Esok nak mulakan penggambaran, hari ini artis menarik diri sehingga terpaksa ke mahkamah untuk mengambil tindakan kerana ia perkara yang tidak boleh diterima.
Tambah A Aida, dia berharap kes ini akan menjadi pengajaran kepada ramai pihak untuk lebih menghormati kontrak yang telah ditetapkan oleh pihak produksi serta bertanggungjawab.
Bila sudah tandatangan kontrak, maka kena hormat dan jalankan kewajipan. Kalaulah tidak boleh buat, berilah tahu seminggu sebelum, kita boleh bawa berbincang. Ini di saat-saat terakhir, esok nak ‘shoot’ (penggambaran) jam 10 pagi, 8.30 malam baru dapat panggilan.
Setengah jam saya terpaku, saya macam tidak percaya. Saya tidak sangka ada artis yang sanggup buat macam itu. Saya tidak tahu kenapa, jadi saya cakap dengan peguam mahu saman.
Saya juga mahu beri pengajaran kepada artis lain supaya jangan main-main. Itulah objektif saya sebenarnya.
Terdahulu, mahkamah memerintahkan Amelia membayar RM213,000 kepada A Aida yang merangkumi kos deposit, ganti rugi am fitnah, ganti rugi kos penggambaran dan kos tindakan dengan faedah lima peratus tahunan.
Sumber: Harian Metro