berita

‘Saya Maafkan & Tidak Langsung Membencinya..’ – Farid Ahmed

March 18th, 2019 | by Ai
Isu & Kontroversi

Insiden serangan tembakan yang berlaku di Christchurch sememangnya mengundang kesedihan kerana telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Malah, ada dalam kalangan kita yang berasa marah dengan tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

Namun, lain pula dengan suami kepada salah seorang mangsa yang meninggal dunia dalam serangan itu yang menyatakan dirinya memaafkan pengganas yang membunuh isterinya.

‘Saya langsung tidak membencinya..’

Melalui satu temubual, Farid Ahmed suami kepada Husna dengan tenang memaafkan pengganas yang membunuh isterinya itu. Dia juga dengan ikhlas menyatakan bahawa dirinya tidak membenci pengganas tersebut sebaliknya menyayanginya.

Saya rasa dia (penyerang) melalui trauma dalam hidupnya, mungkin tidak ada kasih sayang, saya langsung tidak membencinya.

Menurutnya lagi, dia percaya arwah isterinya juga pasti sudah memaafkan pengganas itu.

‘Dia berkorban selamatkan mangsa lain..’

Farid juga menceritakan detik hitam yang dilaluinya bersama isteri ketika serangan itu berlaku. Menurutnya, isterinya itu sibuk menyelamatkan wanita dan kanak-kanak untuk keluar dari masjid.

Namun, selepas semua sudah diselamatkan, Husna kembali ke masjid untuk memeriksa keadaan Farid kerana dia menggunakan kerusi roda namun ditembak selepas menghampiri pagar.

Saya tidak dapat larikan diri, jadi saya sudah bersedia untuk mati. Sebab itu saya rasa tiada sebab untuk saya panik, lebih baik saya tenang dan bersedia. Dia sangat berani, dia berkorban untuk selamatkan orang lain.

Melalui temubual tersebut, Farid juga ada berpesan kepada semua, ‘jika seseorang melakukan perkara buruk kepada kamu, berbuat baik kepada mereka sebagai balasan’.

Husna antara 50 individu yang terkorban dalam serangan ke atas dua masjid di New Zealand ketika solat Jumaat, dia berada dalam dewan wanita dan kanak-kanak.

Sumber: Astro Awani

SKIP THIS AD ×