Sebelum ini, tular mengenai satu berita seorang pelakon veteran Bollywood, Veena Kapoor ditemui maut akibat dibunuh oleh anak lelakinya gara-gara isu harta. Lebih mengejutkan apabila dakwaan mengatakan mayat mangsa telah dibuang ke dalam sungai di Mumbai, India.
Artikel Berkaitan: Pelakon Bollywood Dipukul Anak Kandung Sampai Mati, Mayat Dihumban Ke Dalam Sungai
Namun, berita baru-baru ini melaporkan bahawa Veena Kapoor sebenarnya masih hidup.
Rupanya orang lain yang dibunuh
Memetik laporan Hindustan Times, wanita yang berusia 74 tahun itu bersama anak lelakinya, Sachin Kapoor telah membuat laporan di balai polis Mumbai terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin tidak berasas itu. Dalam kenyataannya, Veena memberitahu bahawa individu yang dibunuh itu adalah orang lain, walaupun mereka mempunyai nama yang sama. Bahkan, gambarnya juga digunakan dalam berita berhubung pembunuhan tersebut. Jelas Veena, mangsa yang dibunuh tinggal di Juhu manakala dia menetap di Goregaon.
Saya juga tinggal bersama anak saya jadi itulah sebabnya orang menyangka bahawa ini adalah Veena Kapoor. Saya ingin memberitahu bahawa saya masih hidup, baik, dan tidak mati. Jangan percaya berita palsu.
Veena Kapoor akui nekad untuk melaporkan penyebaran berita palsu itu kerana tidak mahu orang lain mengalami nasib yang sama. Tambahnya lagi, sepanjang penyebaran berita itu, dia menerima banyak panggilan telefon sehingga menganggu ketenteramannya. Difahamkan, kes masih dalam siasatan.
Sumber: Hindustan Times