Komposer dan pemuzik terkenal, Ross Ariffin kini hidup sebagai gelandangan dan hidup berpindah-randah sejak tiga tahun lalu di sekitar Pasar Seni dan juga Melaka.
Artikel Berkaitan: ‘Bagaimana Dengan Pendapatan Balqis Ketika Dia Aktif Berlakon?’ – Erma Fatima
Hidup berpindah-randah
Foto: Harian Metro
Memetik laporan Harian Metro, pencipta lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Fauziah Latiff dan Liza Aziz menyatakan dia sudah dua kali diserang penyakit ‘stroke’ (angin ahmar) dan ia menyebabkan Ross sukar untuk berjalan dan bercakap.
Kini, Ross tinggal di rumah perlindungan Samaritan Hope Home, Pudu.
Kehidupan saya bertukar 360 darjah apabila penularan Covid-19 menyebabkan saya menjadi penganggur dan kehilangan pendapatan apabila tidak dapat menghasilkan muzik.
Tambah pencipta lagu Dia nyanyian Fauziah Latiff itu, dia sudah bercerai dengan isterinya sejak 10 tahun lalu dan terpaksa keluar dari rumah.
Saya ada dua anak tetapi tidak berhubung dengan mereka. Saya tidak mahu mereka bimbang dengan keadaan saya.
Komposer berusia 61 tahun itu menyatakan bahawa dia akan kembali bekerja selepas dirinya pulih.
Saya akan menerima pekerjaan yang ditawarkan apabila sembuh nanti. Saya boleh bermain piano di hotel untuk mendapatkan wang. Saya juga boleh menulis lagu lagi.
Ross menceritakan pengalamannya yang pernah menyertai orkestra di London sebagai pemain biola selain berpeluang mengembara ke pelbagai negara.
Difahamkan, dia pernah terlibat sebagai pemain muzik sesi atau ‘sessionist’ dan telah terbabit dalam pelbagai rakaman album artis tempatan, termasuk dalam kumpulan Search.
Kalau boleh, saya juga nak pulang ke kampung di Melaka kerana di sana ada banyak peluang pekerjaan untuk saya.
Terdahulu, pencipta lagu Kau Dan Aku nyanyian Ning Baizura itu pernah bekerja sebagai orang yang melipat tuala dan cadar di sebuah hotel bajet di Jonker Walk, Melaka tanpa menerima sebarang bayaran namun, dia dibenarkan menginap secara percuma.
Selain itu, Ross juga diberi peluang untuk menampilkan bakat muziknya setiap malam di sebuah restoran di Jalan Hang Tuah, Melaka dan sebagai ganjaran pengurus restoran tersebut akan menyediakan bilik secara percuma untuknya.
Dalam pada masa sama, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai kepada Ross.
Sumber: Harian Metro