Bekas personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed memberitahu dia terkejut apabila berdepan empat waran tangkap oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Menurut Norjuma, sehingga kini dia tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak termasuk peguam.
Artikel Berkaitan: Norjuma Diisytihar Bankrap
Terkejut baca laporan media
Menerusi laporan Harian Metro, Norjuma mendakwa hanya mengetahui isu waran tangkap melalui laporan media selain menyifatkan perkara itu tidak masuk akal.
Pada masa yang sama, usahawan tudung ini berkata, dia sudah mendapat tarikh baru untuk hadir di mahkamah bulan ini dan akan hadir pada tarikh yang ditetapkan itu.
Saya pun tidak tahu pangkal cerita berhubung waran tangkap itu dan mengakui agak terkejut membaca laporan media berhubung isu waran tangkap. Sepatutnya perkara ini diuruskan oleh peguam saya, bukannya pihak media.
Sehingga kini lima peguam yang dilantik pun tidak memaklumkan perkara ini dan buat masa ini saya juga berdepan masalah kerana barisan peguam tidak memberi kerjasama kepada saya.
Baru-baru ini pun peguam tidak hadir ke mahkamah sedangkan saya mengeluarkan kos setengah juta untuk kos mereka.
Ujar Norjuma lagi, dia akan hadir pada tarikh baru yang ditetapkan oleh mahkamah bulan ini.
Sebenarnya ramai orang tidak tahu mahkamah sudah memberi tarikh baru kepada saya iaitu bulan ini. Saya akan hadir pada tarikh itu.
Terdahulu, media melaporkan, empat Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur mengarahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Norjuma kerana gagal hadir pada prosiding sebutan kes.
Sebutan kes itu berkaitan lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat, tujuh tahun lalu.
Sumber: Harian Metro