berita

‘Saya Reda Jika Allah Mahu Mengambilnya’ – Isteri Ahmad Tarmimi Siregar Meninggal Dunia

May 15th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Isteri kepada pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar iaitu Datin Zulhaila Siregar Sulaiman telah menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 2 pagi tadi (15 Mei 2020) akibat masalah pernafasan. Allahyarhamah telah meninggal dunia di kediaman mereka yang terletak di Bukit Bangsar, Kuala Lumpur.

Isteri Ahmad Tarmimi meninggal dunia


Berita sedih itu dikongsikan oleh pelakon, Kartina Aziz menerusi laman Facebooknya. Menerusi laporan yang dipetik daripada Harian Metro, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar memaklumkan bahawa kali terakhir beliau bercakap dengan arwah isterinya adalah pada jam 11 malam tadi (14 Mei 2020).

Selalunya setiap kali bangun solat tahajud dalam jam 2 pagi saya akan periksa dia dulu, tapi tadi tidak. Dalam jam 4 pagi baru saya periksa dan mendapati dia sudah tidak bergerak dan kaki pun sejuk.

Menceritakan kisah itu, pelakon ini memberitahu bahawa dia juga sempat menghantar video isterinya kepada ahli keluarga yang lain dan memaklumkan keadaan kesihatan arwah pada masa semakin merosot.

Saya nak bawa dia ke hospital, tapi disebabkan penyakit dialami membabitkan paru-paru ditambah pula musim Covid-19, jadi saya fikir ia tidak sesuai. Tidak menjangka pula dia sudah mahu pergi.

Hidap penyakit sekatan pulmonari kronik

Difahamkan, Allahyarhamah yang berusia 64 tahun itu telah disahkan menghidap penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) pada tahun 2013 . Allahyarhamah juga terpaksa bergantung kepada mesin oksigen untuk bernafas kerana menghadapi masalah pernafasan tetapi keadaan kesihatannya semakin merosot sejak 3 tahun lalu.

Sejak dua minggu lalu dia sudah tidak berapa ingat, malah minggu ini pernafasannya tidak menentu. Jadi, saya bercakap pada diri, saya reda jika Allah mahu mengambilnya. Ambillah dia.

Macam semalam pun saya pujuk dia makan dan minum, tapi tak nak. Dia sempat cakap nak peluk anak bongsu yang baru pulang dari kerja.

Sementara itu, menurut Ahmad Tarmimi, jenazah Zulhaila akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Zuhur.

Sumber: Kartina AzizHarian Metro

SKIP THIS AD ×