berita

‘Saya Tak Mahu Anak Ini!’ – Disahkan Hamil Walaupun Guna IUCD, Doktor Kongsi Risiko

January 6th, 2020 | by Shafika
Kesihatan & Hidup Aktif

Kehamilan luar rahim bukanlah perkara baru bagi wanita mengalaminya selepas mengandung kali pertama. Ada juga mengalami selepas anak kedua dan ketiga. Beberapa faktor yang boleh menyebabkan perkara ini berlaku dan diantaranya adalah kerana penggunaan IUCD untuk mencegah kehamilan.

Seperti dikongsi doktor ini apabila seorang wanita masih lagi hamil walaupun sudah menggunakan IUCD. Apa yang menyedihkan kandungan itu berada di luar rahim.

Hamil walaupun menggunakan IUCD

(sekadar gambar hiasan)

“Tahniah, melalui ujian air kencing, kami mendapati puan hamil. Boleh saya tahu bila tarikh haid puan?”

“Haa.. Saya hamil? Tak mungkin sebab saya guna alat perancang. Macam mana saya boleh hamil. Saya tak mahu bayi ini!!”

Terkedu saya mendengar jawapan wanita ini. Apakah ujian air kencing yang dibuat telah memberikan keputusan yang silap? “Kalau macam itu, apa kata kita lakukan pemeriksaan ultrasound untuk kepastian..” saya sudah hilang kekuatan untuk berfikir.

Nasib baik alat IUCD bukan dimasukkan oleh saya. Saya memang tidak berminat untuk memasukkannya walaupun memasukkan alat IUCD adalah mudah dan dapat dilakukan oleh mana-mana doktor.

Janin di luar rahim

(sekadar gambar hiasan)

“Bagaimana doktor, betulkah saya hamil?” Tanya wanita sebaik saja saya meletakkan probe ke atas abdomennya. Saya menarik nafas panjang. Di dalam abdomen tidak nampak pun sarung janin, hanya imej IUCD masih berada di dalam rahem. Sementara di skrin ultrasound, saya melihat imej fallopian tiub sebelah kanan bersama sarung dan janin di dalamnya. Degupan jantung juga kelihatan jelas.

“Ya, puan hamil tapi malangnya janin berada di luar rahem. Alat IUCD itu masih berada dalam rahem”

Itulah nasib malang yang menimpa wanita itu. Beliau berusaha untuk mencegah kehamilannya namun takdir Allah dia hamil juga. Saya tidak dapat melakukan apa-apa rawatan terhadap kes seperti ini. Saya merujukkan semula kepada hospital swasta yang memasukkan alat ini agar tindakan susulan dapat diambil.

Risiko tinggi buat ibu dan anak

(sekadar gambar hiasan)

Intrauterine device atau disebut dengan ringkas IUCD adalah alat pencegah kehamilan yang digunakan oleh wanita untuk jangka masa yang agak lama sekitar 3 hingga 5 tahun. Ia mungkin hanya alat yang diperbuat dari plastik, atau yang dilingkari oleh dawai tembaga.

Walaupun ia dianggap sebagai alat pencegah kehamilan yang agak berkesan, namun kebarangkalian untuk hamil ialah 1 dalam 200 wanita setiap tahun. Apa yang merisaukan jika berlaku kehamilan, kemungkinan besar kehamilan berlaku di luar rahem (ectopic pregnancy) dan terpaksa digugurkan secara pembedahan. Kehamilan dalam rahem juga boleh berlaku bersama alat IUCD di dalamnya.

Risiko untuk hamil adalah tinggi dalam tahun pertama menggunakan IUCD. Namun begitu kebanyakan mereka yang hamil akan mengalami keguguran dengan sendirinya (spontaneous abortion). Jika ia tidak mengalami keguguran, kehamilan ini boleh diteruskan, tetapi risiko bagi ibu dan bayi amat tinggi ketika memasuki fasa trimester ketiga kehamilan.

IUCD akan dikeluarkan dari rahim

sekadar gambar hiasan

Oleh itu jika seseorang wanita itu hamil, IUCD tersebut harus dikeluarkan dengan kadar segera dan doktor akan melakukan pemeriksaan ultrasound bagi memastikan tiada kehamilan luar rahem. IUCD akan dikeluarkan dari rahem dengan menarik benang yang diikat pada IUCD.

Ada juga doktor yang tidak bercadang mengeluarkan IUCD ini jika mendapati alat ini telah ‘terbenam’ pada uri (placenta). Jika ini berlaku, kehamilan terpaksa diteruskan tetapi risiko kelahiran pramatang mungkin berlaku. Jadi bagi wanita yang hamil bersama IUCD di dalam rahem, saya nasihatkan agar mengikuti nasihat doktor sebaiknya. Pemeriksaan berkala harus dijalani.

Bagi wanita yang memakai IUCD pula, walaupun kebarangkalian untuk hamil adalah rendah, namun haruslah segera berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda kehamilan seperti tidak kedatangan darah haid 6 minggu setelah tarikh hari pertama kedatangan haid bulan sebelumnya. Jangan menunggu lebih lama kerana mungkin akan hamil walaupun menggunakan IUCD.
.
#HeathDrZubaidi

Sumber : Dr Zubaidi Hj Ahmad

The following two tabs change content below.

Shafika

Content Champion at Rev Asia Berhad
I'm not fat, I'm just easy to see

SKIP THIS AD ×