Bapa kepada suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah mendedahkan dirinya tidak pernah mendidik anaknya untuk melakukan perkara yang tidak bermoral.
Artikel Berkaitan: ‘Dia Nak Farah’ – Rakan Universiti Nafi Penjawat Awam Adalah Teman Lelaki Nur Farah Kartini
‘Berani buat berani tanggung’
Foto: Berita Harian
Memetik laporan Berita Harian, lelaki yang bekerja sebagai petani itu juga berpendapat sekiranya benar didapati bersalah, anaknya itu perlu bertanggungjawab atas perbuatan yang telah dilakukannya.
Siapa yang tidak sayang anak, pada saya tiada yang pelik mengenai perangainya.
Saya tidak pernah didik dia yang bukan-bukan, apa yang berlaku ini adalah atas dirinya sendiri, berani buat berani tanggung.
Tambahnya lagi, dia juga perlu berlapang dada dengan segala keputusan memandangkan perkara tersebut telah pun terjadi.
Namun, saya kena tabah dan berbuat seperti tiada apa yang terjadi untuk terus berkerja.
Takdir penentu segalanya, apa saya nak buat. Perkara sudah terjadi bukan di depan mata dan tidak boleh saya halang.
Dalam pada itu, lelaki yang berusia 64 tahun berkongsi bahawa menantu dan cucunya yang berusia lapan bulan berada dalam keadaan baik.
Saya difahamkan, malam tadi polis membawa anak saya ke rumahnya di Bukit Katil dan dia sempat membuat panggilan video kepada saya.
Selain itu, polis juga memeriksa dan mengambil telefon bimbit isterinya untuk siasatan berkaitan termasuk mesej dihantar wanita itu (mangsa).
Dalam perkembangan lain, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa keluarganya juga sudah melantik peguam bagi mewakili anaknya dalam siasatan dan perbicaraan kes itu kelak.
Sekadar info, polis menerima laporan berhubung kehilangan Farah berasal dari Miri, Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada 1.56 pagi, 10 Julai lalu.
Kali terakhir wanita berkenaan dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar hitam dan dipercayai hilang selepas menghantar kereta sewa.
Polis kemudiannya telah menahan seorang individu lelaki yang juga penjawat awam bagi membantu siasatan pada pagi Selasa.
Menurut pihak polis, suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.
Suspek kemudian direman selama tujuh hari hingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian