Sebelum ini, penyampai radio Tyzo Xander, memberitahu kepada OhBulan! bahawa dia tidak berani untuk bercakap lebih mengenai kisah yang membabitkan dirinya dengan anak kepada pelakon Normah Damanhuri iaitu Lydia Rosli.
Artikel Berkaitan: Dah Kenal Hampir Dua Tahun, Tyzo Nafi ‘Friendzone’ Lydia Rosli – ‘Saya Tak Kenakan Dia’
Terbaru, OhBulan! berjaya menghubungi Lydia bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan yang dikeluarkan olehnya dalam satu sesi temu bual bersama pihak media, baru-baru ini.
Itu perasaan tahun lepas
Menurut Lydia, perasaan suka terhadap Tyzo itu timbul pada tahun lepas selepas mereka mengenali antara satu sama lain hampir dua tahun yang lalu.
Apa yang saya cakap masa temu bual itu sebenarnya perasaan pada tahun lepas. Sekarang ini kami kawan sahaja. Dulu saya panggil dia sayang, ucap selamat pagi sayang. Sekarang kami sebagai kawan. Saya tak harap apa-apa dekat dia. Nak kata patah hati, patah hati juga la. Saya sejenis yang tak mahu tunggu. Kalau dia tak masuk meminang tak ada la.
Tambah Lydia, kalau diikutkan dia mahu mendirikan rumah tangga dengan Tyzo. Namun, hasrat tersebut tidak kesampaian memandangkan hubungan mereka lebih ke arah kawan dan rakan perniagaan.
Bila saya patah hati, dia telefon ajak untuk jadi kawan. Saya merajuk dan tak balas kiriman Whatsapp dia pada masa itu. Tapi bila fikri balik, saya kena jawab panggilan dia. Sedih masa itu. Saya tak pandai nak kawan biasa dengan lelaki. Saya nak kawan yang betul-betul ke arah yang serius.
Disoal sama ada akan berasa kekok ataupun tidak jika berjumpa dengan Tyzo selepas ini, Lydia menjawab tidak.
Saya tak rasa kekok sebab kami dah anggap sebagai kawan. Kami masih jumpa, cuma orang ingat kami masih lagi bercinta. Contoh, saya teman dia ke majlis kedai Rosyam Nor dan ada orang tanya kami masih bercinta ke? Tyzo dah bagi penjelasan masa itu yang kami sekadar kawan dan buat bisnes bersama.
Selama saya berkawan dengan Tyzo, tak pernah ada orang tanya soalan seperti itu. Itu kali pertama.
Ditanya pula mengenai ‘friendzone’, kakak kepada Kak KM ini berkata, dia tidak pernah anggap Tyzo mempermainkan dirinya.
Ramai komen negatif dekat saya. Pada masa yang sama ada yang sokong juga. Saya ingat, ada yang kata saya tak tengok cermin. Netizen kata Tyzo suka bagi harapan dan kesian dengan mak cik itu (saya).
OhBulan! sempat bertanya kepada Lydia mengenai kriteria istimewa yang ada pada diri Tyzo sehingga dia jatuh cinta. Jelas Lydia, Tyzo seorang lelaki yang sangat baik dan pandai menjaga batas dalam perhubungan.
Tyzo seorang yang baik. Saya tak pernah jumpa lelaki yang tak boleh pegang-pegang. Tak pernah jumpa lelaki yang macam dia. Dia kata nak pegang tunggu halal. Pegang tangan ye jangan salah faham. Dia tak biasa macam itu semua. Dia siap pesan dekat saya, kalau buat macam itu ramai yang akan pergi.
Mungkin dia rasa tak selesa dan segan. Kalau saya pegang tangan dia semasa keluar, balik rumah dia akan tegur.
Di akhir temu bual, Lydia memberitahu hatinya sudah tertutup buat Tyzo pada masa ini.
Saya dah tak mengharapkan apa-apa dari dia. Hati tertutup. Kalau dia bagi cincin masa itu, mungkin saya akan terus kahwin. Saya rasa berbunga sangat.
Sekarang kalau, kena fikir balik. Bukan pudar rasa itu. Cuma tak tahu nak gambarkan macam mana. Mungkin kecewa atau sebaliknya. Kalau dia pandai ambil hati saya semula dan layan saya, mungkin boleh difikirkan. Tapi hubungan kami sebagai kawan memang akan kekal baik.