Penyanyi terkenal era 80-an, Zaiton Sameon amat memerlukan bantuan daripada Jabatan Kemasyarakatan Malaysia (JKM) bagi menampung kos sara hidupnya.
Artikel Berkaitan: Zaiton Sameon Enggan Aibkan Keluarga
Mohon bantuan JKM
Memetik Harian Metro, Zaiton berkata luahan tersebut bukan mahu meraih simpati, sebaliknya dia benar-benar memerlukan bantuan secara bulanan untuk meneruskan kehidupan.
Tawaran persembahan menyanyi sekarang dah tak banyak. Begitu juga perniagaan rendang yang saya buat sebelum ini, sudah lama dihentikan kerana kekangan kewangan dialami.
Saya tiada rumah, tiada harta, tiada anak, tiada ibu bapa dan tiada semuanya. Kasihan betul hidup saya.
Minta bantuan rumah pun tak dapat lagi, beginilah nasib saya. Apapun, saya hanya mampu berdoa serta berharap agar ada pihak daripada JKM dapat membantu. Tolonglah saya.
Sementara itu, menerusi laporan terbaharu, pelantun lagu Menaruh Harapan itu memaklumkan dia sudah dihubungi pihak JKM bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Menurut Zaiton, dia berterima kasih kepada JKM dan semua pihak yang mengambil berat serta prihatin terhadap dirinya.
Saya ucapkan terima kasih kepada Harian Metro dan dan terharu selepas luahan kisah saya disiarkan semalam, hari ini sudah mendapat maklum balas segera daripada pihak JKM Hulu Langat bagi tindakan selanjutnya.
Pada jam 8 pagi tadi, dua orang pegawai JKM Hulu Langat datang ke kediaman saya untuk bertanya permasalahan dihadapi serta sedia membantu saya. Keprihatinan segera mereka untuk membantu buat saya terharu.
Hanya Allah saja dapat membalas segalanya. Harapan saya, selepas urusan mengisi borang permohonan selesai, maka semoga bantuan bulanan JKM diinginkan itu diperolehi.
Pada 14 November tahun lalu, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada JKM Wilayah Persekutuan.
Sumber: Harian Metro