berita

‘Saya Yang Susah Makan Ubat, Saya Yang Selalu Culas, Tapi Dia Yang…’

October 13th, 2020 | by Arini Saleh
Kini Trending

Di Facebook, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi kisah pesakit pasangan warga emas yang sering bersama ke mana-mana. Setiap kali ke klinik untuk mendapatkan rawatan, si isteri akan berceloteh ramah mengusik suaminya yang dikatakan liat makan ubat.

Namun, pada suatu hari, si suami datang berseorangan ke klinik dalam keadaan sugul. Apabila ditanya, isteri rupa-rupanya sudah dipanggil Ilahi. Sebak!

Dua-dua kencing manis & darah tinggi

Sekadar gambar hiasan

Di klinik saya ni, ada sepasang warga emas, umur lebih kurang 70 tahun. Mereka datang setiap bulan untuk ambil bekalan ubat mereka. Dua-dua ada kencing manis dan darah tinggi. Si isteri tu kecil sahaja orangnya, kurus, tapi kalau bercakap, suaranya kuat macam halilintar. Kecoh bukan main. Kalau jumpa saya, dia menceceh tak henti-henti. Ada saja dia nak cakapkan.

Si suami pula pendiam. Kalau dalam bilik konsultasi dia jarang bercakap. Dia akan berdiri sahaja di samping isterinya. Senyum bila isterinya melawak, mengiyakan bila isterinya bercerita. Bila sudah agak lama isterinya berborak kosong, nanti si suami akan sentuh bahu isterinya dan mengajaknya pulang dengan berkata begini dengan nada bergurau “OK nanti bulan depan sambung borak lagi.”

Si isteri selalunya balas begini “Tolong suruh dia ni makan ubat, doktor. Pemalas makan ubat dia ni. Kalau tak piat telinga, mesti dia tak makan. Dah tua bangka pun kena paksa makan ubat, macam budak kecil.” “OK OK OK, saya janji saya makan!” ujar si suami. Terhibur tengok gelagat mereka berdua. Masih mesra bergurau walaupun dah berpuluh tahun berumahtangga. Cara mereka bergurau tu seolah-olah macam baru semalam mereka jatuh cinta.

Isteri dah tiada

Sekadar gambar hiasan

Kalau mereka datang klinik, saya mesti jadi gembira. Tak pernah terlepas daripada datang ambil ubat. Bacaan tekanan darah dan paras gula mereka pun se tiada terkawal. Bagus betul. Satu hari tu, si suami datang. Dia masuk dalam bilik konsultasi seorang diri. Saya jengah keluar, tak nampak isterinya. Jadi, saya tanyalah dia adakah dia datang seorang. Saya tanya mana isterinya.
Terkebil-kebil dia lihat saya. Saya nampak halkum dia bergerak, dia telan air liur. Hati saya terus jadi tak sedap. Tersekat-sekat tuturnya bila dia beritahu saya bahawa isteri dia dah tiada.

Bilik konsultasi terasa sangat sunyi. Rasa amat janggal. Biasanya hingar hingar, suara si isteri. Biasanya ceria dengan celoteh isterinya. Hari ini semua itu tiada. Hati saya jadi sebak. Kalau saya pun terkesan, saya tak dapat bayangkan betapa kosongnya jiwa si suami yang menanggung pilu bila insan yang mewarnai hidupnya selama puluhan tahun, tiba-tiba telah tiada bersamanya.
Pasti sukar.

“Ubat saya dah habis. Saya dah janji dengan dia…” kata-katanya tersekat kereta menahan sedu, bila sudah henti sedan, dia sambung “Saya dah janji akan makan ubat.” Saya seka air mata. Saya tak kata apa-apa. Tak tahu nak cakap apa. Kelu lidah. Teragak-agak nak respon bagaimana. Risau tersalah cakap. Lama juga kami berdua duduk diam membisu begitu.

Itu kali terakhir dia datang klinik

Sekadar gambar hiasan

“Saya yang susah makan ubat, saya yang selalu culas, tapi dia yang pergi dulu” ujarnya tiba-tiba. Saya dapat rasakan kesedihannya itu, sebelum sempat saya balas apa-apa untuk me tenteramkannya, dia bangun dari kerusi dan terus menuju ke pintu. “Saya minta diri dulu, doktor.” katanya sambil mengesat air mata dengan hujung lengan baju kemejanya.

Lelaki tu beri salam, dan keluar dari bilik konsultasi. Itulah kali terakhir dia datang ke klinik saya. Itu dah dua bulan lalu. Apa khabarnya dia sekarang? Kenapa dah tak datang ambil ubat? Saya doakan yang baik-baik sahaja buatnya. Semua pasangan akan hadapi saat ini nanti, termasuk saya. Adakah saya mampu hadapinya? Entahlah. Kalian bagaimana? Dah sedia? Dah manfaatkan masa yang masih ada?

Pada yang masih ada pasangan tu, jangan pernah culas menyintai pasangan kalian setiap hari. Tak usah bila dah tiada peluang meluahkan kasih dan sayang, baru hendak merindui.

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Cakar Ayam Seorang Doktor

Sumber: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×