Menyelami maksud pengorbanan, pelakon, Scha Elinnea mengakui banyak yang telah dikorbankan olehnya terutama masa bersama keluarga dan insan tersayang sejak melangkahkan kaki ke industri seni.

Artikel Berkaitan: Scha Elinnea Akur Kisah Peribadi Jadi Tumpuan

Artikel Berkaitan: Scha Elinnea Mengaku Buat Perubahan Pada Wajah, Enggan Ulas Soal Tatu – ‘Semua Orang Pernah Buat Silap’

Erti pengorbanan Scha

Scha atau Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, 26, bagaimanapun percaya setiap pengorbanan yang dilakukan adalah berbaloi dan pasti membuahkan hasil pada masa akan datang.

Pengorbanan yang telah saya lakukan adalah mengorbankan masa bersama keluarga, diri sendiri serta orang di sekeliling.

Saya mengakui pengorbanan yang dibuat memang sukar, sudah pasti akan merindui masa bersama keluarga.

Tapi saya percaya semua pengorbanan itu akan membuahkan hasil pada satu hari nanti, insya-Allah.

Scha berkata demikian ketika ditemui di majlis bertemu peminat bersama barisan pelakon Anak-Anak Mafia yang diadakan di ibu kota, baru-baru ini.

‘Tak menyesal’

Meskipun ada kala berasa sedih kerana masa bersama keluarga berkurang, namun Scha membulat tekad dan gagah melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberikan sebagai pelakon dengan sebaiknya.

Malah, Scha mengakui dalam hatinya tidak sedikit pun terbit rasa menyesal apabila menceburi bidang seni.

Tipu kalau tidak sedih jika ada perayaan seperti hari raya lihat orang lain boleh balik kampung lama dengan keluarga, manakala saya terpaksa korbankan perkara itu untuk kerja.

Namun tidak mengapa, berlakon adalah tanggungjawab dan saya harus laksanakan tanggungjawab tersebut. Menangis juga lah tak dapat luang masa lama dengan keluarga.

Masuk ke industri langsung tidak buat saya rasa menyesal, saya percaya jalan yang saya lalui sekarang ini apa yang sudah diatur Allah.

Dalam perkembangan terkini, Scha antara pelakon yang membintangi drama Anak-Anak Mafia yang bakal ditayangkan di Tonton pada 12 Jun ini.

Selain Scha, drama arahan Suhaimi Zulkfeli itu turut dibarisi Mierul Aiman, Fitri Farok, Fariz Isqandar dan Zhen Ning.