Ustazah Asma Harun menerusi sebuah posting di Instagram tampil memberi respon berhubung isu 12 pekerja solat Jumaat dikenakan kompaun kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.
Artikel berkaitan: Bapa Mentua Selebriti, 12 Pekerja Solat Jumaat Berjemaah Dikenakan Kompaun
Artikel berkaitan: Dituduh ‘Penunggang Agama’ Isu Selipar Muslim Friendly, Ustazah Asma Harun Tampil Jelas Perkara Sebenar
Ustazah Asma Harun berkongsi rasa sedih ketika membaca berita tersebut dan mempunyai pandangannya tersendiri mengenai isu berkenaan.
Sedih sangat hati ini
Dalam posting berkenaan, Ustazah Asma Harun terlebih dahulu menegaskan respon tersebut bukan mempunyai niat untuk menghasut apatah lagi mempertikaikan kerja yang dijalankan oleh pihak berkuasa. Difahamkan, dia mempunyai pendapatnya tersendiri dimana kesemua 12 individu tersebut merupakan rakan sekerja yang bekerja di dalam satu pejabat yang sama, jadi tiada masalah sekiranya mereka melaksanakan solat jemaah bersama-sama.
Saya doakan semua baik-baik sahaja. Berita ni dah tular daripada semalam, tak tahu kenapa sedih sangat rasa hati ini, memang menitik air mata. Maaf, saya bukan nak menghasut atau pertikaikan pihak berkuasa, mereka jalankan tugas dengan sebaiknya mengikut arahan. Saya juga bimbang isu lama dibangkitkan semula.
Apa yang saya faham, jemaah yang mulia tersebut adalah rakan sekerja yang bekerja dalam satu pejabat, tiada orang luar. Mungkin bagi mereka berkumpul untuk bekerja boleh, maka berkumpul untuk solat juga boleh. Isu tiada penjarakan mungkin menjadi isu utama.
Saya rasa ramai sahaja pekerja kilang bagi sektor kritikal yang dibenarkan, sangat susah 8 jam bekerja atau lebih nak sentiasa jaga penjarakan. Ada waktunya makan, rehat dan lain-lain. Dalam pengangkutan awam juga jangka masa agak lama dalam tempat tertutup, sukar jaga jarak, ia saya faham sebab semua tu keperluan.
Situasi kerja beralih ke situasi solat
Ustazah Asma Harun bagaimanapun pernah terfikir sekiranya staf bekerja di dalam satu tempat dengan mematuhi SOP memakai pelitup muka dan jaga jarak, adakah menjadi satu kesalahan dari SOP sekiranya mereka melakukan solat berjemaah?
Kami juga ada ramai staf bertugas di bawah NGO SAC dengan permit kebenaran pihak berkuasa, sekarang memang staf terhad buat jadual giliran. Setiap hari ada kerja kebajikan yang penting dan urgent, memang kami sedaya upaya patuhi SOP, solat jemaah yang selalu dibuat di Dewan Solat juga dihentikan.
Cuma kadang-kadang terfikir, dah kerja dalam satu pejabat beberapa jam, memang dengan pakai mask sepanjang masa dan lain-lain SOP, satu kesalahan ke bila solat berjemaah dengan SOP ? atau sebenarnya ia bukan kesalahan. Bezanya, situasi kerja beralih ke situasi solat. Sebelum solat kita dah bersihkan diri dengan baik, itulah yang saya fikirkan. Mohon maaf, komenlah dengan berhikmah.
Sumber: Ustazah Asma Harun