Pelawak, Che Mat Raja Lawak, 40, mengakui bahawa namanya masih belum setanding dengan rakan-rakan yang lain meskipun sudah 17 tahun berada dalam industri seni.
Artikel Berkaitan: Wanita Persis Nora Danish Kembali Viral Angkara Lagu ‘Balik Kampung’ Versi Mandarin
Dah masuk pelbagai pertandingan
Menerusi temu bual secara eksklusif bersama OhBulan! Che Mat atau nama sebenarnya Mohd Rahmat Saidin berkata, pada awalnya dia berasa sedih apabila rezeki tidak menyebelahi dirinya setiap kali memasuki pertandingan yang dianjurkan oleh sebuah stesen televisyen swasta di negara ini.
Namun begitu, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini yakin bahawa cepat atau lambat pasti ada rezeki buatnya untuk terus berada di dalam industri seni sama seperti rakan-rakannya yang lain.
Saya dah masuk pelbagai pertandingan bermula daripada Raja Lawak musim pertama. Sejak dari itu juga, saya sedar rezeki tidak berpihak kepada saya. Habis sahaja program tersebut, nama saya kurang menjadi perhatian.
Macam rakan-rakan saya yang lain, nama mereka sangat dikenali sehingga mereka masih bertahan di dalam industri. Sebagai contoh, Johan, Zizan, Tauke dan Angah.
Saya bangga dengan mereka. Pada masa yang sama, saya cuba berusaha dan mencari peluang untuk aktif dalam bidang yang saya minati ini. Kali terakhir saya keluar di kaca televisyen pun pada bulan Julai tahun lalu. Saya buat Program Sketsa Teater. Selepas itu, saya tidak menerima apa-apa job.
Berbicara mengenai fasa kesusahan, Che Mat mengakui dia pernah berasa ‘down’ apabila pandemik Covid-19 melanda negara.
Kalau cakap susah, masa pkp dulu memang sangat perit untuk saya. Malah, kesannya sampai sekarang ini. Nasib baik saya mempunyai isteri yang sentiasa memberi sokongan dan menjadi tulang belakang pada waktu itu. Anak-anak juga penguat semangat untuk saya bangkit setiap hari.
Ujar Che Mat lagi, dia terpaksa menyertai sebuah badan bukan kerajaan dan membuat pelitup muka pada masa itu demi mencari sesuap nasi.
Bidang lawak masih relevan
Disoal mengenai bidang lawak masih relevan ataupun tidak pada masa kini, anak kelahiran Perlis ini memberitahu bidang lawak masih relevan.
Bagi saya relevan cuma orang-orang industri yang menjadikan lawak tu sebagai tempelan sebenarnya. Hakikat sekarang ini ramai sangat nak jadi pelawak. Pelakon biasa pun nak buat lawak seolah mereka juga adalah pelawak sebenar. Dekat media sosial juga ramai jadikan lawak itu sebagai bahan untuk mereka berada dalam industri.
Ditanya pula mengenai kerjaya sekarang, Che Mat berkata dia sedang membuat podcast bersama sebuah jenama produk tempatan.
Saya sibuk buat podcast untuk sebuah jenama kopi. Mereka nak cuba cara baru untuk kenalkan produk mereka. Senang cakap ikut trend. Jadi, fokus utama saya sekarang membantu mereka. Saya akan bawa artis undangan datang untuk berbual sambil mempromosikan produk tersebut.
Di samping itu, saya terbuka menerima jemputan sebagai pengacara majlis dan berlakon teater.
Di akhir temu bual, Che Mat berharap industri seni pada masa ini lebih adil dalam menilai bakat yang ada bukan sekadar mereka mahukan rating semata mata.
Ujar Che Mat lagi, dia berharap masih ada ruang dan peluang untuknya kembali aktif di dalam bidang seni.