Pelakon dan pelawak, Zizan Razak mengakui nama legenda sukan permotoran negara, Karamjit Singh menjadi faktor utama yang mendorongnya bersetuju menerima tawaran untuk membintangi filem Terbang.

Artikel Berkaitan: Zizan Razak Bersuara Gambar ‘Meme’ AI Disunting Keterlaluan – ‘Biarlah Berpada & Tak Langgar Hukum Agama’

Artikel Berkaitan: Netizen Bimbang ‘Meme’ AI Zizan Disunting Menyerupai Wanita & Agama Lain – ‘Jangan Melampau Sampai Hancur Hukum’

Terkilan

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Mohd Razizan Abdul Razak, 42, bagaimanapun terkilan apabila mengetahui dirinya bukanlah watak utama.

Pun begitu, Zizan berkata, perasaan tersebut diketepikan selepas menyedari bahawa filem itu mengangkat kisah legenda yang dikaguminya sejak dahulu.

Saya asalnya ambil filem ini disebabkan Karamjit Singh. Kalau ikutkan, watak saya bukan utama. Tapi ini antara filem yang saya ambil walaupun bukan utama.

Saya sebenarnya ada sedikit terkilan bila saya jadi pembantu. Tapi bila saya ditawarkan filem berkenaan dengan genre perlumbaan ini, saya memang terima dan bila saya terima, baru saya dapat tahu yang saya bukan pelumba. Saya adalah mekanik.

Tapi saya fikir, filem ini bukan pasal saya. Filem ini pasal Karamjit Singh. Jadi bila saya baca skrip itu, saya kata saya tak ada sebab nak tolak cerita ini kerana Karamjit Singh wira saya.

Zizan berkata demikian ketika ditemui pada malam gala Terbang di TGV KLCC pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zizan mengakui terharu apabila dapat menjayakan filem yang mengangkat kisah perjalanan hidup legenda pelumba negara, Karamjit Singh.

Saya daripada kecil tengok dia. Dia pernah datang Terengganu buat aksi ngeri. Dia pernah naikkan nama Malaysia. Memang masa tahun 2000, nama dia tengah megah dan saya tahu dia wira Malaysia.

Bila dekat litar, beberapa kali jumpa dia, saya tahu, itu bintang Malaysia, tapi tak pernah tegur dia. Saya segan, saya hormat. Saya letak dia tahap Valentino Rossi, Micheal Schumacher sebab nama dia memang besar.

Masa saya ada penggambaran di Australia, bila saya duduk melepak dengan pasukan-pasukan pelumba di sana, mereka tahu pasal Karamjit Singh.

Zizan menyifatkan penglibatannya dalam Terbang sebagai satu amanah besar terutama dalam memastikan kisah benar di sebalik dunia sukan permotoran Malaysia dapat diterjemahkan dengan baik ke layar lebar.

Saya terima cerita ini sebab saya fikir kena jayakan filem ini kerana ia akan menjadi biografi untuk Malaysia.

Saya sudah tengok filem Rush dan Ford v Ferrari. Ini filem-filem mengenai legenda yang berasaskan fakta. Malaysia tak ada.

Jadi saya kata, kalau watak saya bukan utama, tak banyak pun tak apa. Janji saya antara orang yang menyumbang kepada filem ini untuk berjaya, insya-Allah.

Selain Zizan, turut membintangi filem tersebut ialah Irfan Zaini, Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekhon, Michael Helfman, Diana Danielle, Luqman Hafidz, Qasrina Karim, Razib Salimin, Ruminah Sidek, Peggie Ng, Ng Meng Tuck dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 17 September depan, filem ini juga dipersembahkan dalam format 4DX yang menawarkan pengalaman sinematik yang menyeluruh melalui kerusi bergerak dan kesan persekitaran seperti angin, air dan bau.