Tidak dinafikan pada tahun 90-an merupakan era kegemilangan pengeluar kereta pertama Malaysia. Proton. Kita dapat menyaksikan bagaimana Proton mencipta pelbagai model berdasarkan platform Proton Wira seperti Satria, Putra, dan Arena.
Dilancarkan pada tahun 2002, Proton mengubahsuai bahagian penumpang belakang sebuah Wira kepada ‘cargobed’. Maka itu, Proton Arena hanya boleh memuatkan 2 orang sahaja. Ini adalah cubaan pertama Proton setakat ini untuk mencipta sebuah pikap bersaiz kompak dan dijual secara komersial.
Mampu tampung muatan sehingga 645kg
Sewaktu pengeluarannya, Proton Wira versi pikap ini hadir dengan varian Freestyle, Sportdeck dan Fastback. Varian Freestyle mengutamakan penggunaan komersil manakala varian Sportdeck lebih kepada kegunaan peribadi dan perniagaan dimana ia didatangkan dengan bar sukan (sports bar) dan trim badan. Varian Fastback pula adalah untuk pengguna yang mementingkan gaya.
Menurut Proton, pikap ini boleh membawa muatan di belakang sehingga 645 kg melalui kapasiti kargo yang seluas 800 liter. Walaupun dibina berdasarkan sebuah sedan, Proton Arena mengguna casis ladder frame di bahagian belakang untuk meningkatkan ketahanan dan kekuatan badan.
‘Jumbuck’ laku di UK
Apa yang menariknya, Proton Arena sebenarnya jauh lebih laris di luar negara. Dikenali sebagai Proton “Jumbuck”, kereta pikap buatan tempatan ini turut dieksport ke United Kingdom, Taiwan, Australia dan Afrika Selatan. Disebabkan itu, enjin 4G15 pada Proton Arena menggunakan sistem pengurusan enjin EMS 400 untuk menepati piawaian pelepasan karbon Euro 2.
Pada tahun 2009, Proton berhasrat untuk menghentikan pengeluarannya. Walau bagaimanapun, Proton Arena masih popular di United Kingdom. 80% daripada jumlah Proton Jumbuck yang dijual di negara itu masih lagi berada di atas jalan raya.
Maka itu, tidak disangkal lagi bahawa keputusan Proton untuk mengeksport Proton Arena ke luar negara adalah wajar. Walaupun tidak begitu laris di Malaysia, usaha Proton untuk menghasilkan sebuah pikap ringkas yang bersaiz kompak sangat dikagumi memandangkan rakyat Malaysia sering bergantung kepada Toyota Hilux yang bersaiz lebih besar.
Spesifikasi Arena
Sebagai sebuah pikap, Proton turut mengubah suspensi belakang kepada jenis leaf spring untuk menampung berat muatan dengan lebih baik seperti trak pikap yang lain.
Selain itu, Proton turut menaik taraf gandar belakang (rear axle) kepada yang lebih kukuh, bar penstabil (stabiliser bar) depan yang lebih baik, cakera brek (brake disc) 14 inci serta dram brek (drum brake) belakang 9 inci. Malah brek belakang ini mempunyai load sensing proportioning valves (LSPV). Di samping itu, Proton Arena turut menerima talaan pengendalian dan keselesaan pemanduan daripada Lotus.Dari segi tren kuasa, ia menggunakan enjin 1.5L 12 injap 4G15 (89 PS) yang dipadankan dengan transmisi manual 5 kelajuan.