Gambar sekadar hiasan
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Dan Batin! Selepas berjaya mengharungi segala ujian sepanjang bulan Ramadan, kini tiba lah hari di mana semua umat Islam di dunia meraikan kemenangan.
9 amalan sunnah semasa hari raya
Gambar sekadar hiasan
Meskipun sudah berhempas pulas mengerjakan ibadah di bulan mulia Ramadan, kita juga dituntut untuk terus melakukan amal kebaikan di bulan Syawal dengan cara menyambut hari raya yang mulia ini dengan mengamalkan serta mengikut sunnah yang dilakukan Rasulullah SAW.
Hal ini kerana, dengan menghayati sunnah-sunnah yang dilakukan Rasulullah SAW itu, ia sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk mendapatkan keberkatan sepanjang menyambut bulan Syawal.
Justeru itu, mari kita sama-sama hayati sembilan amalan sunnah yang boleh kita amalkan sepanjang bulan Syawal seperti mana yang telah dikongsi laman rasmi Jabatan Mufti Negeri Terengganu.
Pertama: Bertakbir pada malam raya dan pagi raya di mana sahaja mereka berada (selain dalam tandas).
Kedua: Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah s.w.t, seperti melakukan solat, berzikir, membaca al Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati” (H.R Ibnu Majah)
Ketiga: Mandi sunat hari raya, memakai pakaian yang baik dan memakai bau-bauan sebelum keluar menunaikan solat hari raya.
Keempat: Bagi makmum sunat pergi ke tempat solat raya lebih awal, sementara Imam disunatkan datang lewat sedikit, iaitu ketika hendak mendirikan solat.
Kelima: Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a berkata : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak keluar pada pagi hari Raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Bukhari].
Keenam: Memberi kelapangan kepada keluarga dari segi perbelanjaan, memperbanyakkan sedekah sekadar yang termampu.
Ketujuh: Keluar pergi solat melalui jalan lain dan balik ke rumah semula selepas solat melalui jalan lain. Bagi yang mampu adalah lebih afdhal pergi solat berjalan kaki,
Kelapan: Menzahirkan keceriaan dan kegembiraan ketika bertemu dengan orang mukmin, serta ziarah menziarahi bagi mengeratkan silaturrahim, serta mengucapkan sebarang ucapan yang baik. Para sahabat Rasulullah s.a.w ketika bertemu sesama mereka pada hari Raya mereka menyebut: semoga Allah menerima amal kami dan juga amalmu.
Kesembilan: Tidak berjabat salam antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, seperti ipar, isteri bapa saudara atau suami emak saudara dan seumpamanya.
Diharapkan, perkongsian ini dapat membantu kita semua untuk terus mengamalkan kebaikan serta mendapat keberkatan sepanjang berada di dalam bulan Syawal.
Sumber: Pejabat Mufti Negeri Terengganu