
Suami kepada pelakon, Mira Filzah iaitu Wan Emir Astar menitipkan ucapan istimewa buat isteri tercinta sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang keenam.
Artikel Berkaitan: Suami Mira Filzah Luah Harapan Buat Anak, Doa Jadi Insan Beriman & Berbakti – ‘Kamu Sentiasa Disayangi’
Ulang tahun perkahwinan

Menerusi hantaran di Threads, Wan Emir meluahkan rasa syukur dikurniakan isteri yang sangat memahami dan sentiasa berada di sisi dalam apa jua keadaan.
Enam tahun sudah, kekasihku. Semakinku mengerti, cinta itu tidak selalunya banyak bicara. Ada masa cukup dengan satu pandangan, satu genggaman, atau sekadar berada di sisi.
Tanpa sepatah kata, ku tahu bila dirimu sedang lelah, bila hati sedang berat, dan bila diperlukan, hanyalah untuk tetap ada. Yang sama dari mu buat diriku. Nur Amirah kekasihku, mungkin itulah keindahan bahasa cinta kita.
Pencipta kita menemukan dua jiwa dengan segala kurang dan lebihnya, lalu mengajar kita untuk saling melengkapi. Di mana diri ini kurang, kau mengisi.
Dalam hantaran sama, Wan Emir berkata, mereka akan sentiasa berusaha menjadi tempat bergantung antara satu sama lain dalam mengharungi kehidupan berumah tangga.
Sewaktu jiwamu lelah, ku jadi sandaran buatmu. Dalam perjalanan ini, kita belajar bahawa cinta bukan tentang menjadi sempurna; ‘but continue to choose to be with one another; the imperfectly perfect us, every single day, until the end of time.’
Enam tahun ini, alhamdulillah dalam segala ceritanya, Dia (Allah) sentiasa memayungi kita dengan rahmat dan redha-Nya. Doaku semoga Allah terus membimbing langkah kita, menjaga hati kita, memberkati keluarga kita.
Selamat ulang tahun perkahwinan yang keenam, Nur Amirah Filzah, kekasihku, permaisuri bidadariku, selagi Allah mengizinkan, genggam erat tangan kita di dunia hingga ke syurga menanti.
Imbas kembali, Mira dan Wan Emir disatukan sebagai suami isteri pada 3 September 2020. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir.
Sumber: Threads







