Penyanyi kelahiran Singapura, Hady Mirza berjaya memukau penonton ketika mendendangkan lagu ‘Romancinta’ nyanyian asal kumpulan Mojo sekaligus mendapat markah tertinggi ketika konsert minggu ketujuh All Stars Gegar Vaganza (ASGV) pada malam Ahad.
Artikel Berkaitan: Nyanyian Dikritik Sedikit Sumbang, Azharina Dedah Ada Masalah Kesihatan – ‘Ada Benda Yang Saya Tak Perlu Heboh’
Ibu baru pulih kanser
Ketika ditemui OhBulan!, Hady berkata, kehadiran ibunya, Mardiana Ahmad di tempat duduk penonton membantu dirinya untuk menjadi lebih bersemangat ketika melakukan persembahan.
Saya rasa saya begitu bersemangat sewaktu menyanyikan lagu tersebut adalah kerana lagu ‘Romancinta’ ni merupakan lagu yang ikonik untuk saya dan ditambah pula dengan kehadiran penyanyi asal, Aweera. Itu memberikan saya lebih semangat.
Tak lupa juga isteri saya yang selalu support dan pada minggu ni ibu saya pun datang juga. Ibu saya ni susah nak datang sebenarnya jadi bila saya perasan dia ada datang bersama mak cik, saya terus cakap, ‘Okaylah saya nak buat persembahan hari ini (Ahad) untuk mereka’.
Tambah Hady atau nama sebenarnya Muhammad Mirzahady Amir, ibunya baru sahaja pulih dari penyakit kanser limfoma yang dihadapinya sejak 2021 beberapa bulan yang lalu.
Sebelum ini ibu susah untuk hadir kerana ada masalah kesihatan. Ibu saya menghidap kanser limfoma dari tahun 2021.
Awal tahun yang lalu merupakan satu situasi yang agak sukar buat kami sekeluarga kerana ibu saya dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga ke empat minggu.
Tapi sekarang Alhamdulillah ibu saya sudah pulih sepenuhnya selepas proses kemoterapi cuma dia perlu menjalani rawatan susulan.
Saya sangat bersyukur sebab ibu semakin sihat, badan pun makin berisi. Saya gembira melihat keadaannya yang sekarang.
Hady berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada konsert minggu ketujuh ASGV yang diadakan di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam pada malam Ahad.
Sementara itu, Hady yang perlu berulang alik dari Singapura ke Malaysia pada setiap minggu memaklumkan bahawa itu bukanlah alasan untuk mengeluh dan mencari alasan.
Menurut pelantun lagu ‘Cinta Sampai Disini’ itu lagi, perkara tersebut merupakan pengorbanan yang perlu dilakukannya sebagai seorang anak seni.
Kalau ada shooting yang lama dan sebagainya saya tak dapat nak balik tapi kalau ada waktu, kelapangan saya akan balik tengok ibu dan luangkan masa bersama keluarga bergantung kepada situasi dan keadaan.
Nak kata tak penat tu tipulah di tambah pula dengan keadaan trafik pada hujung tahun ni yang memang sesak. Jadi bila jadual di Malaysia agak padat saya rasa bersyukur sebab tak perlu balik kerana yang memandu adalah saya.
Penat dan tertekan adalah sebahagian dari pertandingan ini tapi saya dah pernah lalui di Gegar Vaganza 6 dahulu dan itu membuatkan saya lebih seronok kali ini.
Terdahulu, nyanyian Hady yang mendendangkan lagu ‘Romancinta’ meraih perhatian wargamaya yang menganggap penyanyi berusia 43 tahun itu berjaya mendendangkan lagu tersebut secara bersahaja tanpa menunjukkan sebarang kesukaran dan masalah.