Selepas percutian di Hong Kong, pelakon Fattah Amin berkongsi hasrat untuk membawa anak perempuannya, Nur Fatima Aisya bercuti ke Disneyland Paris pula.

Artikel Berkaitan: Fattah Amin & Fatima Bergembira Di Hong Kong Disneyland

Artikel Berkaitan: Fattah Amin Kotakan Janji, Fatima Teruja Pergi Disneyland – ‘Cipta Kenangan Bersama Ayah Saya’

Fattah bawa keluarga ikut ke Disneyland

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata perancangan itu mungkin direalisasikan suatu hari nanti sekiranya ada rezeki. 

Namun buat masa ini, dia perlu bekerja lebih keras bagi memastikan impian tersebut tercapai.

Saya teringin nak bawa dia ke Disneyland di Paris pula, InsyaAllah semoga ada rezeki. Saya kena kerja keras lagi.

Bercerita lanjut mengenai percutiannya ke Hong Kong baru-baru ini, pelakon filem Pendekar Awang itu memaklumkan bahawa percutian tersebut turut disertai oleh ahli keluarganya yang lain.

Saya pergi ke sana dengan team saya dan keluarga serta anak-anak buah saya yang lain. Macam Fatima pula bila dah berusia lima tahun ni, dia suka kalau ada sepupu dia sekali untuk berkawan.

Fatima enjoy dan excited dengan trip tu seperti yang sama kongsikan gambar di media sosial. Sebenarnya ada banyak lagi gambar dan video yang kami rakam tapi tak sempat saya nak kongsikan.’

Fattah berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran platform OTT, UTV yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Khamis.

Fattah tanggung kos percutian

Apabila ditanya sama ada dirinya menanggung keseluruhan kos percutian, Fattah tidak menafikan perkara tersebut sebaliknya merasakan itu adalah tanggungjawabnya sebagai anak sulung dalam keluarga.

Ya betul (tanggung kos), sebab yang ikut adalah keluarga dan saya pula anak sulung. Perkataan sponsor (taja) tu tak sesuai sebab kami pergi sebagai percutian keluarga jadi kami sama-sama lah.

Sementara itu, menjawab persoalan netizen mengapa memilih Hong Kong sebagai destinasi percutian, Fattah menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat bagi memberikan pengalaman baharu kepada Fatima, selain ianya juga menjadi kunjungan pertama mereka ke negara berkenaan.

Hari tu Fatima dah pergi Tokyo, jadi saya nak bawa dia ke tempat baru sebab Disneyland di setiap negara tu berbeza.

Itu sebab mengapa saya bawa Fatima ke Hong Kong. Macam saya sendiri pun tak pernah pergi ke negara tu.

Mengulas mengenai tanggapan segelintir pihak yang mempersoalkan tindakannya kurang berkongsi momen percutian bersama Fatima, pelantun lagu Wanita Terakhir ini menjelaskan bahawa dia lebih memilih untuk menjaga privasi.

Bagi saya setiap orang ada cara yang berbeza. Macam saya, lebih suka menjaga privasi dan ada masa bila perlu, saya akan berkongsi juga di media sosial.

Cuma macam percutian baru-baru ini, saya tak sempat nak kongsikan apa-apa masa sampai tu. Sebagai single dad yang kena mandikan Fatima, sediakan pakaian dia dan sebagainya.’

Kalau tengok Fatima ni memang seorang yang clingy, kemana pun dia mesti nak daddy dia. Jadi bila ada kelapangan masa baru lah saya kongsikan di media sosial.’

Sebelum ini, Fattah berkongsi foto dan video memaparkan momen istimewa dirinya dan Fatima meluangkan masa bersama di Disneyland Hong Kong.

Imbas kembali, sekitar Jun lalu Fatima menyatakan hasrat kepada bapanya untuk bercuti di Disneyland Tokyo.

Sekadar info, Fattah mendirikan rumah tangga bersama aktres, Fazura pada 27 November 2017 namun bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Fatima yang kini berusia 5 tahun.