berita

Selepas Nagaenthran, Seorang Lagi Rakyat Malaysia Bakal Dihukum Gantung Di Singapura Esok

April 28th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Selepas pelaksanaan hukuman gantung sampai mati ke atas Nagaenthran Dharmalingam di penjara Singapura semalam, seorang lagi rakyat Malaysia, Datchinamurthy Kataiah, dijadual menjalani hukuman sama pada esok.

Menunggu nasib sejak 2015

Gambar sekadar hiasan

Memetik laporan Malaysiakini, Datchinamurthy yang berusia 36 tahun telah berada di Penjara Changi dan menunggu nasibnya sejak 2015 sebelum diberikan jadual pelaksanaan hukuman melalui sepucuk surat pada 22 April lalu.

Sebelum itu, dia ditahan dan didakwa atas tuduhan mengedar 44.9g diamorphine, sejenis dadah yang diperbuat daripada heroin. Datchinamurthy ditahan bersama seorang wanita Singapura pada 18 Nov 2011. Tidak senasib dengannya, wanita terbabit dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah Singapura.

Dalam sepucuk surat ditulis teman wanita Datchinamurthy yang dikongsikan kumpulan Sebaran Kasih, teman wanitanya bercerita mengenai lawatan terakhir dia lakukan ke penjara terbabit pada 26 Apr lalu.

Semuanya terus bermain di fikiran saya: ketawa, jenaka, saat-saat yang menggembirakan. Amat menyedihkan untuk kehilangan seseorang yang kita sayangi dengan cara yang kejam seperti ini.

Saya seperti tidak percaya apabila kita berbincang mengenai pengebumian kamu.

Saya harap kamu mendapat kebebasan yang tidak diberikan oleh dunia ini. Saya berharap kamu akan dibebaskan daripada perjuangan antara hidup dan mati. Saya harap kamu akan masuk ke dunia tuhan.

Hidup di dunia ini sukar – kerja, pendapatan, keluarga, anak-anak dan ibu bapa – ia bukan mudah.

Jika kamu perlu pergi dahulu, kita akan berjumpa semula apabila tiba masa saya pula.

Sementara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan, Sebaran Kasih berkata, sukar untuk menerima kenyataan bahawa seorang lagi rakyat Malaysia akan menjalani hukuman mati selepas peristiwa Nagaentran baru saja berlalu.

Surat ini akan menjadi surat terakhir kepada Datchinamurthy daripada orang yang disayanginya jika dia dihukum mati pada Jumaat ini.

Bacalah surat itu untuk memahami dan merasai kesedihan teman wanita Datchinamurthy yang menunggu kematiannya.

Untuk rekod, republik berkenaan adalah antara negara yang menguatkuasakan undang-undang antidadah paling tegas di dunia.

Sumber: malaysiakini

SKIP THIS AD ×