Foto: Marca
Gara-gara ditangkap kerana menyeludup masuk salinan digital siri drama Netflix popular Korea Selatan, Squid Game, seorang lelaki warga Korea Utara dijatuhi hukuman mati oleh skuad penembak negara berkenaan.
Sebar drama bersiri Squid Game
Foto: Deadline
Memetik laporan Radio Free Asia (RFA), pelajar lelaki berkenaan dikatakan menyeludup salinan drama bersiri Squid Game itu dari negara China dengan menggunakan pendrive. Difahamkan, aktiviti penyeludupan itu terbongkar selepas pegawai Korea Utara menerima laporan bahawa lelaki terbabit dikatakan menjual salinan siri itu kepada seorang pelajar sekolah menengah.
Ini semua bermula minggu lalu apabila seorang pelajar sekolah menengah secara rahsia membeli pendrive yang mengandungi drama Korea Selatan Squid Game dan menontonnya bersama salah seorang kawan baiknya di dalam kelas.
Rakannya itu kemudian memberitahu pelajar lain dan mereka tertarik sebelum pendrive itu dikongsikan bersama.
Pengedar dijatuhi hukuman mati
Sekadar gambar hiasan
Susulan daripada penangkapan itu, ‘si pengedar’ dijatuhi hukuman mati manakala seorang pelajar yang membeli alat peranti (pendrive) itu dipenjara seumur hidup. Enam lagi pelajar yang turut terlibat kerana menonton drama bersiri Squid Game telah dijatuhi hukuman melakukan kerja buruh selama lima tahun. Bukan itu sahaja, guru dan pentadbir sekolah telah dipecat dan bakal bekerja di lombong terpencil.
Difahamkan, Korea Utara telah melaksanakan akta ‘Penghapusan Pemikiran dan Budaya Reaksioner’ iaitu melarang kemasukan dan penyebaran bahan budaya termasuk filem, drama dan sebagainya terutamanya dalam kes yang melibatkan remaja bawah umur. Di bawah undang-undang tersebut, mana-mana individu yang didapati menonton, menyimpan atau mengedarkan bahan media dari negara-negara kapitalis terutamanya Korea Selatan dan Amerika Syarikat akan dihukum bunuh.
Sumber: Radio Free Asia (RFA)