Baru-baru ini, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ, memuat naik hantaran di akaun Instagram dan Twitter peribadinya beberapa foto dirinya tercedera akibat kemalangan selepas basikal yang ditunggangnya melanggar lubang di jalan.
Artikel berkaitan: KJ Cedera Jatuh Basikal, JKR Kuala Langat Mohon Maaf
Berdasarkan perkongsian itu, basikalnya dipercayai melanggar lubang menyebabkan beliau terhumban ke dalam parit. Kejadian itu dipercayai berlaku pada hari Ahad lalu sewaktu beliau bersama rakannya yang lain berbasikal di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting.
Tindakan pantas baiki jalan
Foto: Mohd Redzuan
Menurut perkongsian yang dimuat naik oleh Mohd Redzuan di Twitter, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat telah tampil membaik pulih lubang di Jalan Seri Cheeding, Kuala Langat, Selangor iaitu lokasi kemalangan YB Khairy Jamaluddin. Namun, Ahli Parlimen Rembau itu turut berharap tindakan pantas juga dapat diambil terhadap jalan-jalan lain yang berlubang kerana ia membahayakan nyawa orang ramai.
Susulan kejadian itu, KJ terpaksa bermalam di hospital dan menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) walaupun dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan. Menurut laporan Malaysia Post, Khairy berkata pihak berwajib harus menjaga jalan raya dengan standard yang tinggi buat semua rakyat, bukan hanya menteri.
Respon netizen
Foto: Mohd Redzuan
Dalam perkongsian yang dimuat naik oleh Mohd Redzuan itu juga, netizen turut menzahirkan rasa tidak puas hati di ruangan komen kerana pihak berwajib tidak menjaga jalan raya dan sepatutnya mereka sudah lama sedar akan keadaan jalanraya di Malaysia. Buat rakyat Malaysia juga, kita harus sentiasa berhati-hati dan peka apabila berada di atas jalanraya.
Sumber: Malaysia Post, Mohd Redzuan.