Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu lah ungkapan yang boleh menggambarkan keadaan seorang bayi berusia 4 bulan yang menghidap kanser otak (Medullablastoma) tahap empat selepas 21 hari dilahirkan. Apa yang lebih memilukan apabila, bayi ini sekali lagi disahkan mempunyai kanser buah pinggang.
Sebelum ini, kisah bayi ini telah dikongsikan oleh ibunya Khairiah Kamarudin di Facebook dan mendapat perhatian dari warganet termasuk lah selebriti tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Semoga Nishka dapat melawan kanser
Menerusi Harian Metro, bayi berkenaan, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham disahkan menghidap penyakit berkenaan selepas mendapati keadaan kepala bayi tersebut yang besar berbanding bayi lain yang seusia dengannya. Menurut ibu bayi ini, anaknya kini sedang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu.
Tambah Khairiah lagi, dia tidak menyangka perkongsiannya itu mendapat perhatian dan pelbagai reaksi oleh warganet. Rata-rata daripada mereka turut mendoakan kestabilan dan kesembuhan Nishka supaya dia dapat menjalani rawatan kemoterapi yang ketiga dalam masa yang terdekat.
Alhamdulillah, saya berharap orang ramai terus berdoa untuk Nishka.
Mudah-mudahan dengan doa semua akan menguatkan lagi semangat Nishka untuk melawan kedua-dua kanser itu.
Masih belum stabil
Khairiah turut memaklumkan bahawa keadaan kesihatan puterinya itu belum stabil dan masih menggunakan alat bantuan pernafasan (intubated veltilation).
Harapan saya supaya anak kembali sihat dan dapat keluar wad memandangkan kami sudah berada di sini lebih tiga bulan yang lalu.
Hospital menjadi rumah pertama kami dan saya berterima kasih kepada pakar perubatan yang bertungkus-lumus memberi rawatan terbaik kepada Nishka.
Tokti beri kata semangat
https://www.instagram.com/p/B2fmllqn0g3/?utm_source=ig_web_button_share_sheet
Kisah ini juga mendapat perhatian oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut menitipkan doa agar adik Nishka terus kuat dan kembali sihat.
Datuk Siti juga telah meminta agar orang ramai supaya terus mendoakan kesejahteraan adik Nishka serta berharap agar ibu bapa bayi ini terus kuat dan tabah menghadapi dugaan yang diberikan ini.
Sumber: Datuk Seri Siti Nurhaliza, Harian Metro