berita

Sempat Edar Kad Sebelum Majlis Kahwin Tangguh, Anggota APM Maut Kemalangan

May 18th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) iaitu Nurul Ain Natasha Mazlan disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Jenderam/Salak, Sepang.

Kereta terbabas

Menerusi laporan yang dipetik daripada The Sun Daily, kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama rakannya, Rabbiatun Khairunnisa Mohammad Osman dalam perjalanan menuju ke tempat kerja yang terletak di Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sepang. Tetapi malangnya, kereta jenis Proton Iswara yang dipandu rakan mangsa secara tiba-tiba telah hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke lorong bertentangan.

Kemudian datang sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun gagal mengelak sebelum melanggar kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa yang berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia manakala rakannya mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan tangan. Difahamkan, pemandu kereta Proton Saga tersebut cedera di bahagian pinggang.

Sudah edarkan kad kahwin

Sementara itu menerusi laporan Harian Metro, menurut rakan mangsa yang dikenali dengan nama Azli Muhidin memberitahu bahawa mangsa seorang anggota APM yang sangat komited dengan tugasannya. Lebih menyedihkan apabila mangsa juga sebelum ini sudah mengedarkan kad jemputan kahwinnya yang sepatutnya berlangsung pada 28 Mac 2020 yang lalu.

Arwah Nurul Ain Natasha Mazlan, 26, sempat menyerahkan kad undangan majlis perkahwinannya kepada saya awal Mac lalu. Namun majlis itu terpaksa ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan kerajaan.

Arwah dikatakan sanggup mengetepikan niatnya untuk ke jinjang pelamin disebabkan tanggungjawab yang digalas sebagai anggota APM. Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: The Sun Daily, Harian Metro

SKIP THIS AD ×