Foto: Harian Metro
Mayat seorang wanita ditemukan di dalam longkang Kuala Berang-Kuala Terengganu pada pagi Rabu dengan 15 kesan tikaman di bahagian badan.
Dilanggar, ditikam 15 kali
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, mangsa yang dibunuh oleh rakannya sendiri itu ditemukan oleh pengawal keselamatan. Hasil siasatan awal mendapati, mangsa, 65, dan suspek, 35, mengusahakan perniagaan baju sejak lima tahun lalu.
Namun pada hari kejadian, berlakunya pertengkaran antara mereka berhubung pengagihan keuntungan yang diperoleh. Pertengkaran tersebut membuatkan mangsa keluar dari kenderaan berkenaan sebelum suspek yang juga seorang tukang jahit bertindak melanggar mangsa.
Mangsa kemudian tercampak ke dalam longkang berdekatan manakala kereta yang dipandu suspek terbabas di tepi jalan. Tidak terhenti di situ, suspek bertindak kejam dengan menikam mangsa sebanyak 15 kali sehingga mati.
Kereta Honda Jazz yang ditinggalkan di lokasi kejadian adalah milik suami suspek dan selepas kejadian itu, suspek dikatakan menahan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan untuk pulang ke rumahnya.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bedah siasat dan suspek berjaya ditahan. Polis turut menemui senjata yang digunakan suspek yang dibuang berhampiran rumahnya.
Sumber: Buletin TV3, Harian Metro, Mohd Redzuan Abdul Manap